Berita

Kemaskini: 19/07/2026 12:58 PM

Setem Borneo Utara 'Arkib Bergerak' Sejarah Sabah

Koleksi setem dari tahun 1883 hingga 1963 yang ada dalam simpanan Pengasas dan Presiden Persatuan sejarah Borneo Sabah Dr Shari Jeffri sejak 40 tahun lalu.

Oleh Norazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 19 Julai (Bernama) -- Usaha memelihara setem Borneo Utara yang berusia lebih 100 tahun semakin penting berikutan khazanah itu kian sukar ditemukan, sekali gus memastikan rekod sejarah serta kisah perkembangan Sabah pada masa lalu tidak lenyap ditelan zaman.

Pengasas merangkap Presiden Persatuan Sejarah Borneo Sabah Dr Shari Jeffri, 56, menyifatkan koleksi filateli yang diterbitkan antara 1883 hingga 1963 itu sebagai “arkib bergerak” yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Antara koleksi paling bernilai dalam simpanan Pengasas dan Presiden Persatuan Sejarah Borneo Sabah, Dr Shari Jeffri ialah dua keping setem Borneo Utara bernilai dua sen daripada siri keluaran 1883 yang memaparkan imej perahu layar berwarna coklat serta mempunyai cop pos.

“Generasi hari ini kurang didedahkan dengan aktiviti mengumpul setem berbanding dahulu. Kini hanya segelintir yang benar-benar berminat, malah jumlah penggemar juga semakin berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di beberapa kedai barangan antik sekitar bandar raya ini mendapati khazanah berkenaan semakin sukar diperoleh, selain ditawarkan pada harga tinggi bergantung kepada usia, keadaan dan keunikan setiap setem.

Tinjauan itu bagaimanapun menemukan sebuah album yang mengandungi setem Borneo Utara bernilai enam sen, memaparkan potret Ratu Elizabeth II bersama wanita Dusun, serta setem 10 sen bergambar kegiatan pembalakan yang diterbitkan antara 1954 hingga 1961.

Pengasas dan Presiden Persatuan Sejarah Borneo Sabah, Dr Shari Jeffri menunjukkan koleksi setem keluaran dari 1883 hingga 1963 yang masih dalam simpanannya.

Berkongsi kisah di sebalik minatnya terhadap filateli, Shari berkata sebahagian besar koleksinya merupakan peninggalan Allahyarham datuknya yang bekerja di Recreation Club Jesselton di sini sekitar 1920-an.

Beliau berkata datuknya mula mengumpul setem dan artifak pos selepas melihat pegawai British menjadikan kegiatan itu sebagai hobi, selain berhasrat memupuk minat sama dalam kalangan generasi seterusnya.

Shari mula mengenali dunia filateli ketika berusia tujuh tahun, namun hanya benar-benar aktif mengumpul setem ketika di bangku sekolah menengah bersama rakan-rakannya.

Dr Shari Jeffri memberi penerangan kepada wartawan BERNAMA Noorazlina Jindeh mengenai koleksi dan sejarah setem di Sabah di rumahnya baru-baru ini.

Sejak itu, beliau menjaga rapi koleksi warisan keluarganya yang turut menyemarakkan minat mendalam untuk mengkaji sejarah dan perkembangan setem di wilayah Borneo Utara.

Antara koleksi paling bernilai dalam simpanannya ialah dua keping setem Borneo Utara bernilai dua sen daripada siri keluaran 1883 yang memaparkan imej perahu layar berwarna coklat serta mempunyai cop pos.

“Bagi pengumpul setem, tanpa edisi 1883, koleksi mereka dianggap tidak lengkap. Setiap keping setem bukan sekadar alat pembayaran pos, sebaliknya menjadi jalan cerita merakam peristiwa sesuatu zaman,” katanya.

Shari yang berkecimpung dalam dunia filateli selama hampir 40 tahun berkata setem Borneo Utara mula diperkenalkan pada 1883 oleh British North Borneo Chartered Company dan digunakan selama kira-kira 52 tahun.

Beliau berkata reka bentuk setem berkenaan mengalami perubahan dari semasa ke semasa, termasuk pada 1935 apabila identiti Sabah mula ditampilkan dengan lebih jelas, selain diterbitkan dalam pelbagai nilai daripada dua sen hingga satu dolar.

Pada peringkat awal, katanya reka bentuk setem memaparkan lambang dan imej seperti singa, perahu serta harimau sehingga sekitar 1892, selain cogan kata “Pergo et Perago” sebagai usaha memperkenalkan wilayah berkenaan kepada dunia luar.

“Mulai tahun 1894, reka bentuknya bertukar menampilkan imej flora, fauna, dan hidupan liar asli Borneo. Cabaran utama sekarang ialah memastikan ia disimpan dalam album bebas asid agar tidak pudar,” katanya.

Shari berkata setem yang mempunyai cop penuh dianggap unik dan jarang ditemukan, selain lebih bernilai kerana memaparkan maklumat lengkap seperti tarikh, nama pejabat pos, waktu serta lokasi surat berkenaan dipos.

Beliau berkata penggunaan kertas setem yang mempunyai lapisan gam turut menjadi antara ciri penting dalam menentukan keaslian dan nilai bahan filateli berkenaan.

Bagi mendalami ilmu berkaitan ketulenan bahan filateli, beliau mendapatkan bimbingan daripada pakar di Singapura, Voon Kyam Foh dan Tan Chun Lim, selain merujuk katalog khusus seperti Commonwealth & British Empire Stamps.

Walaupun amalan berbalas surat semakin terpinggir seiring dengan perkembangan komunikasi digital, setem antik Borneo Utara kekal sebagai saksi perjalanan sejarah Sabah yang tidak ternilai serta perlu terus dipelihara.

-- BERNAMA