Berita

Kemaskini: 18/07/2026 10:52 PM

Perkhidmatan Pusat Autisme Sabah Bakal Diperluas Ke Empat Daerah - Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KENINGAU, 18 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Pusat Autisme Sabah (PAUS) bakal diperluas ke daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort secara berfasa bermula tahun ini bagi menyediakan pendidikan awal berkualiti serta mampu milik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri yang memperuntukkan RM173.56 juta pada tahun ini menerusi belanjawan negeri bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

 “PAUS Kota Kinabalu di Sembulan beroperasi dengan lancar yang menempatkan kanak-kanak autistik berusia tiga hingga tujuh tahun, selain pelbagai program bantuan kebajikan lain turut dilaksanakan bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya pada majlis perasmian The Neurohope Programme 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan Bingkor di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Sementara itu, beliau berkata The Neurohope Programme 2026 merupakan gerakan komuniti yang menghimpunkan pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan, kerajaan dan pertubuhan masyarakat demi membina ekosistem yang menyokong perkembangan setiap anak.

Hajiji berkata ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat diseru berganding bahu memanfaatkan peluang tersebut bagi mendalami ilmu serta berkongsi pengalaman memandangkan sokongan padu daripada komuniti serta pakar amat diperlukan.

Beliau berkata program kesedaran seumpama itu diharap dapat diperluas ke lebih banyak sekolah dan daerah di seluruh Sabah bagi memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasakan keluarga serta membina masyarakat yang lebih prihatin.

-- BERNAMA