Berita

Kemaskini: 14/07/2026 04:05 PM

Autonomi Perjawatan KKM Penting Atasi Kekurangan Tenaga Kerja Kesihatan Di Sabah - SMSU

-- Gambar hiasan

KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Mandat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan kuasa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan di kementerian itu amat penting bagi mempercepat pengambilan serta menangani kekurangan serius tenaga kerja kesihatan yang berlarutan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) Ajulahin Japin berkata autonomi pentadbiran ini akan memberi KKM lebih fleksibiliti untuk menentukan pengagihan jawatan berkenaan, sekali gus membolehkan pengambilan dibuat dengan lebih pantas, perancangan tenaga kerja yang lebih cekap serta penempatan kakitangan yang lebih berkesan.

“Pemberian kuasa kepada kementerian untuk mengurus jawatan yang telah diluluskan sendiri merupakan inisiatif yang tepat pada masanya, praktikal dan berpandangan jauh yang akan memberi manfaat besar kepada keseluruhan ekosistem kesihatan Sabah dan negara,” katanya kepada Bernama.

Pada 9 Julai, JPA memberi mandat kepada KKM untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan di kementerian itu bagi mempercepat pengisian keperluan tenaga kerja kesihatan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata setakat ini, terdapat lebih 9,000 kekosongan perjawatan bagi pegawai perubatan di KKM yang sepatutnya boleh diisi oleh lebih 11,000 pegawai perubatan kontrak sekali gus memberikan KKM fleksibiliti untuk menentukan agihan perjawatan mengikut keperluan perkhidmatan dan fasiliti kesihatan.

Bagaimanapun, Ajulahin berkata pengurusan tertinggi KKM perlu menjalankan penilaian di lokasi bagi memastikan peruntukan tenaga kerja mencerminkan keperluan sebenar.

“Bagi Sabah, inisiatif ini amat signifikan memandangkan negeri itu telah lama berdepan kekurangan berterusan tenaga kerja kesihatan termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan dan profesional kesihatan bersekutu,” katanya.

Beliau berkata kekurangan kakitangan yang berlarutan itu telah memberi tekanan besar kepada petugas sedia ada serta menjejaskan keupayaan kemudahan kesihatan dalam memenuhi peningkatan permintaan perkhidmatan daripada masyarakat.

Ajulahin berkata mengambil kira keluasan geografi Sabah serta taburan penduduk yang berselerak, penempatan tenaga kerja mesti berasaskan keperluan perkhidmatan sebenar bagi memastikan akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Kesatuan itu juga berharap pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pewujudan jawatan baharu, tetapi turut melihat kepada pengisian segera kekosongan jawatan yang telah lama berlaku akibat persaraan, peletakan jawatan dan pengurangan kakitangan,” katanya.

Beliau yakin pencapaian penting ini akan mengurangkan beban petugas barisan hadapan kesihatan secara ketara, meningkatkan kesejahteraan dan semangat kerja kakitangan, serta akhirnya mempertingkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

-- BERNAMA