Berita
Projek Pembesaran KKIA Akan Dimulakan Sebaik Isu Berkaitan Tanah Selesai - Hasbi
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bernilai hampir RM500 juta akan dimulakan sebaik isu berkaitan tanah dan tapak diselesaikan bersama Kerajaan Negeri Sabah, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata peruntukan bagi projek berkenaan telah diluluskan, namun beberapa perkara berkaitan keperluan kawasan, tapak pembesaran serta beberapa bahagian berhampiran landasan sedia ada masih perlu dimuktamadkan.
“Bagi (projek pembesaran) Lapangan Terbang Tawau sedang dilaksanakan, tetapi bagi KKIA, kalau semua hal tanah ini sudah diselesaikan, rasanya projek itu nak dibangunkan. Tapi perincian berkaitan tapak tanah ini kita tunggu dulu keputusan kerajaan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) pada Sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat hari ini berkaitan status pembangunan KKIA dan Lapangan Terbang Tawau seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Oktober lepas, memgumumkan memperuntukkan RM2.3 bilion bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap menjelang 2028.
Menjawab soalan asal Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) sama ada kerajaan merancang menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pangkor atau membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke pulau itu, Hasbi berkata perjalanan menerusi laut kekal menjadi pilihan utama pelancong dan penduduk ke pulau tersebut ketika ini.
Beliau berkata kerajaan mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berminat untuk memulakan operasi di lapangan terbang itu, manakala Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sentiasa terbuka menerima cadangan berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk beroperasi bergantung kepada penilaian komersial serta daya maju perniagaan oleh syarikat penerbangan terbabit.
“Lapangan Terbang Pulau Pangkor sebelum ini pernah mengendalikan perkhidmatan charter oleh Berjaya Air menggunakan pesawat Dash 7 dan SKS Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, namun perkhidmatan itu dihentikan pada Mei 2022.
“Kerajaan menyedari bahawa ketersambungan udara antara pemangkin penting kepada sektor pelancongan. Oleh itu, MOT akan memastikan sebarang keputusan masa hadapan mengenai lapangan terbang itu mengambil kira potensi pertumbuhan permintaan perkhidmatan udara,” katanya.
Namun begitu Hasbi menjelaskan lapangan terbang berkenaan, serta lapangan terbang di Pulau Redang dan Pulau Tioman, tidak ditutup sepenuhnya sehingga menjadi ‘gajah putih’.
Sebaliknya ketiga-tiga lapangan terbang itu masih digunakan untuk penerbangan pesawat persendirian, pesawat dan helikopter tentera, pendaratan kecemasan dan perkhidmatan flying doctor (doktor terbang), dengan kakitangan MAHB bertugas menjaga aset di lapangan terbang berkenaan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong