Berita
Program MyLesen B2 Kembali Di Pensiangan, Bantu Penduduk Luar Bandar Miliki Lesen
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Program MyLesen B2 khusus bagi penduduk kawasan Pensiangan, Sabah kini kembali untuk membantu masyarakat memperoleh lesen motosikal secara sah.
Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata program itu bertujuan membantu penduduk luar bandar, khususnya golongan belia memperoleh lesen dengan mudah tanpa perlu ke sekolah memandu yang terletak jauh di pekan atau bandar.
“Peserta masih dikehendaki melalui kursus dan ujian untuk mendapat lesen dan meningkatkan kesedaran dan pemahaman undang-undang jalan raya.
“Ini penting bagi keselamatan semua dan mengurangkan kes kemalangan di jalan raya. Tapi kami akan bantu kamu sehingga berjaya mendapatkan lessen,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Arthur, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata program itu terbuka kepada penduduk berumur antara 16 hingga 63 tahun, terutama bagi mereka yang masih tidak mempunyai lesen atau ingin memperoleh lesen buat pertama kali.
"Dengan adanya lesen yang sah ini kamu boleh meluaskan pergerakan sebagai pemandu yang sah, dan ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi khususnya untuk belia dan beliawanis," katanya
Beliau berkata bantuan program lesen itu memang akan mengubah hidup seorang penerima dan lesen itu boleh digunakan sepanjang hayat.
Borang pendaftaran boleh diperoleh di Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong