Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 28/11/2026 07:09 PM

Khazanah Prasejarah Gua Pelangi Dipamer Kepada Pengunjung Yakin MADANI Di Seremban

Khazanah Prasejarah Gua Pelangi Dipamer Kepada Pengunjung Yakin MADANI Di Seremban
Pembantu Muzium Kanan Lembaga Muzium Negeri Sembilan Siti Azmiza Omar menunjukkan khazanah prasejarah dari Gua Pelangi di Pasoh 4, Negeri Sembilan di reruai Lembaga Muzium Negeri Sembilan sempena Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali penemuan arkeologi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Khazanah prasejarah dari Gua Pelangi di Pasoh 4, Jelebu menjadi antara tarikan di reruai Lembaga Muzium Negeri Sembilan sempena Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali penemuan arkeologi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Pembantu Muzium Kanan Lembaga Muzium Negeri Sembilan Siti Azmiza Omar berkata pameran berkenaan mengetengahkan pelbagai bahan arkeologi hasil kerja ekskavasi di Gua Pelangi yang dipercayai menyimpan bukti kehidupan masyarakat prasejarah sejak ribuan tahun lepas.

“Gua Pelangi ini istimewa kerana merupakan satu-satunya tapak arkeologi di Negeri Sembilan dan satu-satunya di bahagian selatan Malaysia yang berada di gua batu kapur. Kebanyakan tapak arkeologi berada di bahagian utara atau timur Malaysia, jadi penemuan di Gua Pelangi ini merupakan satu khazanah penting yang perlu diperkenalkan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Khazanah Prasejarah Gua Pelangi Dipamer Kepada Pengunjung Yakin MADANI Di Seremban
Khazanah prasejarah dari Gua Pelangi di Pasoh 4, Negeri Sembilan menjadi antara tarikan di reruai Lembaga Muzium Negeri Sembilan sempena Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali penemuan arkeologi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Beliau berkata kerja ekskavasi di Gua Pelangi bermula pada 2015 dilaksanakan melalui beberapa fasa penyelidikan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara serta Universiti Sains Malaysia (USM) dan bahan dipamerkan merupakan hasil penemuan daripada fasa pertama hingga ketiga, manakala kerja penyelidikan fasa keempat masih dijalankan oleh USM.

Antara bahan arkeologi yang dipamerkan termasuk sisa fauna mamalia, reptilia dan moluska seperti cengkerang siput, selain tembikar serta bahan yang dipercayai berkaitan dengan peralatan kehidupan masyarakat prasejarah.

Siti Azmiza berkata penemuan cengkerang siput di kawasan gua berkenaan turut memberikan gambaran mengenai sumber makanan masyarakat yang pernah mendiami kawasan itu, memandangkan Gua Pelangi terletak berhampiran sungai.

“Berdasarkan kajian dan kedudukan Gua Pelangi yang berhampiran sungai, siput dipercayai menjadi antara sumber makanan utama penduduk pada masa itu. Cengkerang siput yang ditemukan dianggarkan berusia antara 14,000 hingga 9,000 tahun,” katanya.

Beliau berkata sebahagian penemuan dipamerkan turut dikaitkan dengan zaman Paleolitik, namun terdapat bahan tertentu masih memerlukan kajian lanjut bagi mengenal pasti jenis dan asal usulnya.

Siti Azmiza menjelaskan proses ekskavasi dilakukan secara sistematik dengan menggali tanah mengikut petak dan lapisan tertentu bagi memastikan kedudukan asal setiap penemuan dapat direkodkan.

"Pameran berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan warisan arkeologi, selain memperkenalkan Gua Pelangi sebagai antara tapak bersejarah yang mempunyai nilai penyelidikan penting di Negeri Sembilan," katanya.

Program Yakin MADANI diadakan di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula hari ini, dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

Yakin MADANI turut membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat dengan wakil kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, menikmati kemudahan serta menyelesaikan urusan secara langsung.

Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan diterajui Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran interaktif serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung pada program berkenaan.

-- BERNAMA