Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/09/2026 03:27 PM

Ahmad Zahid Adakan Mesyuarat Bersama-sama ADUN BN N. Sembilan Malam Ini

Ahmad Zahid Adakan Mesyuarat Bersama-sama ADUN BN N. Sembilan Malam Ini
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan mesyuarat khas bersama-sama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan malam ini bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut semasa di negeri itu.

Beliau berkata mesyuarat di Menara Dato’ Onn di sini turut melibatkan ADUN PAS dan Parti Wawasan Negara bagi mengkoordinasi serta mengenal pasti opsyen terbaik mengikut undang-undang tubuh negeri dan adat.

"Mesyuarat itu untuk saya mengkoordinasi dengan tidak berhajat untuk campur tangan, tetapi untuk mencari jalan yang terbaik bagi penyelesaian terhadap kemelut yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) kali ke-18 di sini yang turut dihadiri Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S Thanenthiran.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sebarang langkah diambil perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta mematuhi Peraturan-Peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN), Perlembagaan dan adat Negeri Sembilan.

Presiden UMNO itu turut memberikan mandat penuh kepada Menteri Besar Datuk Ismail Lasim untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin termasuk pimpinan hierarki adat yang lain.

Mengulas cadangan pengisytiharan darurat politik, Ahmad Zahid berkata langkah itu tidak perlu memandangkan situasi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri tersebut kekal terkawal.

"Saya tidak fikir harus menuju ke arah itu (pengisytiharan darurat politik) sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan...tentu ada opsyen yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA