Berita Terkini
Kemelut N.Sembilan: Aminuddin Minta Ismail Jelaskan Kesalahan Kerajaan Negeri Terdahulu
SEREMBAN, 25 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun meminta Menteri Besar Datuk Ismail Lasim, menyatakan secara khusus kesalahan kerajaan terdahulu yang didakwa sehingga mencetuskan kemelut adat dan institusi diraja di negeri itu.
Aminuddin berkata rakyat berhak mengetahui tindakan yang dikatakan gagal dilakukan ketika beliau menjadi Menteri Besar, serta menyatakan dengan jelas peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang didakwa dilanggar serta masa pelanggaran itu berlaku.
“Apakah tindakan yang dikatakan gagal saya lakukan? Apakah peruntukan UUTKNS 1959 yang dikatakan telah dilanggar dan bilakah pelanggaran itu dikatakan berlaku?
“Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya. Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Aminuddin juga bersedia untuk bertanggungjawab terhadap setiap keputusan dibuat semasa menjadi Menteri Besar dengan mengemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan berdasarkan rekod.
Semalam, Ismail berkata kemelut yang berlaku di negeri ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, tetapi merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mempersoalkan tindakan Ismail menandatangan dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sedangkan sebelum ini beliau memilih untuk tidak menandatangani dokumen sama.
Aminuddin berkata dokumen proklamasi bertarikh 19 April lepas itu pernah dikemukakan kepadanya pada 20 April, ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar untuk ditandatangan mengikut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
“Saya membuat keputusan tidak menandatangani dokumen tersebut. Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama.
“Datuk Ismail sebagai orang yang berlatar belakang pengamal guaman, sudah pasti sangat biasa dengan perkataan “proses”. Isu melibatkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ini adalah prosesnya. Adakah lengkap atau cacat sejak awal?,” katanya.
Beliau berkata Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar, tetapi turut menetapkan proses yang perlu dipenuhi, termasuk isu berkaitan suatu siasatan yang penuh dan lengkap.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Polis Utamakan Keselamatan, Ketenteraman Awam Susulan Perkembangan Semasa Di N. Sembilan
- Pembatalan Lantikan 10 Exco Negeri Sembilan Diwartakan
- Ismail Perlu Jelaskan Siapa Paksa Tandatangan Proklamasi - Tengku Zafrul
- Akur Titah Tuanku Muhriz, Kemukakan Senarai Exco Baharu - AMH Negeri Sembilan
- Berhenti Burukkan Keadaan, Beri Ruang Proses Sah Dalam Pentadbiran N. Sembilan - Fadhlina