Berita Terkini
Tuanku Muhriz Tiba Di Tanah Air, Zahir Penghargaan Atas Sokongan
SEPANG, 17 Sept (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan lebih 200 ahli badan bukan kerajaan (NGO) adat Negeri Sembilan, yang hadir bagi menyambut ketibaan baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1), di sini malam ini.
Tuanku Muhriz bertitah demikian kepada pemberita sejurus melangkah keluar dari bilik orang kenamaan (VIP) pada 10.40 malam bersama Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
“Saya akan balik ke istana malam ini,” titah baginda.
Ditanya lanjut sama ada baginda akan segera menyelesaikan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz bertitah ringkas: “Ya insya-Allah, insya-Allah. Terima kasih semua.”
Keberangkatan tiba Tuanku Muhriz disambut dengan laungan “Daulat Tuanku” oleh penyokong yang hadir mengenakan pakaian serba hitam bersongkok serta baju berwarna kuning.
Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Sebelum berangkat pulang, Tuanku Muhriz mencemar duli meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan penyokong yang hadir.
Terdahulu, satu himpunan aman diadakan bagi menzahirkan tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz yang disertai beberapa NGO, antaranya Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Waris Datuk Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan dan Pekan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan malam ini memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Tuanku Muhriz bertarikh 19 April lepas tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
AGC juga memaklumkan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan, tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Kerajaan N. Sembilan Tidak Akan Warta Proklamasi 19 April 2026 - SUK Negeri Sembilan
- Proklamasi Mengenai Kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tidak Sah - AGC
- Ismail Sahkan Keputusan Exco Negeri Sembilan Berhubung Kedudukan Tuanku Muhriz
- Hari Malaysia Simbol Perpaduan, TMNS 2026 Pemangkin Ekonomi Negeri
- Menteri Besar Tiada Kuasa Unilateral Tamatkan Jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan