Berita Terkini
Proklamasi Mengenai Kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tidak Sah - AGC
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lepas tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam kenyataan malam ini, AGC memaklumkan tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS, terpakai kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kesahan serta kesan proklamasi tersebut berkaitan perkara itu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan undang-undang terutama UUTKNS 1959,” katanya.
AGC dalam kenyataan itu memaklumkan walaupun Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya Yang Dipertuan Besar diturunkan takhta, namun Perkara 10 UUTKNS turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum keputusan sedemikian boleh dibuat.
“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” menurut kenyataan itu.
Menurut AGC, berbangkit juga isu mengenai beberapa Undang yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak lagi memegang jawatan secara sah, kerana telah diturunkan mengikut adat di luak masing-masing.
Jabatan itu memaklumkan keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi berkenaan dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing, sekali gus menyebabkan komposisi Undang Yang Empat tidak lengkap pada masa yang material.
“Jabatan ini menghormati kedudukan Undang Negeri Sembilan dan akur pelantikan dan penurunan setiap mereka adalah tertakluk kepada peraturan adat di luak masing-masing.
Dalam masa sama, AGC mengambil maklum Perkara 16 UUTKNS 1959 turut memperuntukkan persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang Dipertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Menurut Perkara 16 (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan (DKU) mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, AGC berpandangan kenyataan media atau pengumuman oleh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung perkara itu, tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan.
“Juga, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.
“Berdasarkan perkara-perkara di atas tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.
AGC turut mengambil maklum perkara berkenaan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban dan terdapat perintah mahkamah dalam bentuk interlocutory injunksi yang masih berkuat kuasa.
Justeru, jabatan itu menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan perkara berkenaan diselesaikan secara teratur.
AGC mengeluarkan kenyataan itu selepas mengambil maklum Kenyataan Media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan – Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026 pada 15 Sept lepas mengenai proklamasi berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim hari ini mengesahkan bahawa proklamasi berkenaan diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, DKU hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua DKU.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Kerajaan N. Sembilan Tidak Akan Warta Proklamasi 19 April 2026 - SUK Negeri Sembilan
- Tuanku Muhriz Tiba Di Tanah Air, Zahir Penghargaan Atas Sokongan
- Ismail Sahkan Keputusan Exco Negeri Sembilan Berhubung Kedudukan Tuanku Muhriz
- Hari Malaysia Simbol Perpaduan, TMNS 2026 Pemangkin Ekonomi Negeri
- Menteri Besar Tiada Kuasa Unilateral Tamatkan Jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan