Berita Terkini
Kemelut Negeri Sembilan: UMNO Serah Kepada Istana Muktamad Keputusan
SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- UMNO menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk memuktamadkan keputusan berhubung kemelut kepimpinan negeri susulan pertemuan kepimpinan parti itu dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir petang ini.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan berkenaan telah dipersetujui secara bersama dalam suasana yang tenang, namun sebarang perincian termasuk soal pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco hanya akan dimuktamadkan oleh pihak istana dalam masa terdekat.
“Tuanku Muhriz dalam suasana yang tenang dan akan membuat keputusan, jadi kita (UMNO) serahkan kepada pihak istana untuk mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai.
“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Tuanku Muhriz selama kira-kira sejam di sini hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada 16 Nov lepas, Zambry memaklumkan Datuk Ismail Lasim meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Zambry berkata Ahmad Zahid menerima salinan surat peletakan jawatan itu dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 Nov memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Pada 20 Nov, Ismail berkata beliau tidak mengemukakan atau memberi persetujuan untuk surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
Istana kemudian menjelaskan bahawa Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Perkembangan itu menyusul selepas 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mencapai kesepakatan untuk mematuhi keputusan kepimpinan parti masing-masing berhubung penyelesaian kemelut politik negeri.
Ismail yang juga ADUN Juasseh, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Exco Negeri Sembilan Dijadual Angkat Sumpah Esok
- 14 Warga Kkm Berdepan Detik Cemas, Bas Dinaiki Terbakar Di Lebuh Raya
- Penglibatan Remaja Dalam Lumba Haram Perlu Diberi Perhatian Serius
- Yakin MADANI Negeri Sembilan Tawar Pelbagai Inisiatif Menarik, Manfaat Untuk Belia
- PHNS Gesa Kemelut Politik, Pentadbiran Negeri Sembilan Diselesaikan Segera