Berita Terkini
Yakin MADANI Negeri Sembilan Tawar Pelbagai Inisiatif Menarik, Manfaat Untuk Belia
SEREMBAN, 24 Nov (Bernama) -- Program Yakin MADANI yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) di sini pada 28 dan 29 Nov ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan, aktiviti serta inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan belia.
Setiausaha Bahagian Perolehan dan Kewangan Kementerian Pengangkutan (MOT) Guna Arulalan David berkata antara pengisian utama, termasuk tawaran lesen motosikal percuma menerusi Program MyLesen B2 dan MYB2S kepada belia dan pelajar, peluang biasiswa di Akademi Laut Malaysia (ALAM) serta Jualan Rahmah MADANI.
“Kita lihat ramai menunggang motosikal tanpa lesen. Jadi kita nak melesenkan mereka supaya penggunaan motosikal di atas jalan raya sah di sisi undang-undang dan sekiranya berlaku apa-apa, tiada masalah membuat tuntutan insurans dan sebagainya selain program pertukaran topi keledar.
“Program itu turut menyediakan peluang biasiswa bagi pengajian di ALAM kepada belia yang berminat menceburi bidang maritim dengan nilai biasiswa boleh mencecah lebih RM100,000 seorang sehingga memperoleh sijil pentauliahan sebagai pelaut,” katanya ketika menjadi tetamu program “Apa Khabar Malaysia” anjuran Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata program bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” itu menghimpunkan kira-kira 20 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan serta khidmat nasihat kepada orang ramai dengan MOT sebagai kementerian peneraju.
Dalam pada itu, beliau berkata penjenamaan semula daripada Program MADANI Rakyat kepada Yakin MADANI bertujuan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah diakses, jelas dan mesra rakyat.
Antara aktiviti lain dalam program dua hari itu ialah pengagihan beras percuma hingga 4,000 kampit sehari, program kecergasan, aerobik, e-sukan dan cabutan bertuah selain perkhidmatan Bas.my percuma, khususnya laluan N10A bagi memudahkan orang ramai ke lokasi program.
Program Yakin MADANI bakal menjelajah lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula 28 Nov ini bagi mendekatkan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat menerusi pendekatan lebih segar, santai dan mesra golongan muda.
Program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri itu merupakan manifestasi iltizam kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
Majlis perasmian program itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang ramai, khususnya golongan belia dipelawa hadir bersama keluarga serta rakan-rakan untuk memanfaatkan pelbagai pengisian yang disediakan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PHNS Gesa Kemelut Politik, Pentadbiran Negeri Sembilan Diselesaikan Segera
- 274 Calon SPM Di N.sembilan Berdepan Risiko Bencana Susulan MTL
- Polis Minta Kerjasama Orang Ramai Kesan Remaja 14 Tahun
- Ismail Lasim Tidak Sihat, Sedang Terima Rawatan Di Hospital
- Sindiket Guna Web Tertutup, Media Sosial Bekal Vape Campur "Piu-piu"