Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 21/11/2026 01:17 PM

PHNS Sifatkan Pendirian MB Selari Dengan Prinsip Sejak Awal Krisis

PHNS Sifatkan Pendirian MB Selari Dengan Prinsip Sejak Awal Krisis
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 21 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PHNS) menyifatkan pendirian Menteri Besar Datuk Ismail Lasim untuk mempertahankan institusi diraja serta mematuhi ketetapan berkaitan dengan adat dan perlembagaan negeri sebagai selari dengan prinsip yang diperjuangkan gabungan itu sejak tercetusnya krisis di negeri berkenaan.

Majlis Pimpinan Negeri PHNS dalam kenyataan memaklumkan pendirian itu sewajarnya menjadi ruang untuk rakyat menilai semula pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap gabungan berkenaan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, termasuk dakwaan mencampuri urusan adat, mempengaruhi institusi istana dan mengancam kedudukan agama Islam.

“Oleh itu, PHNS menuntut kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik tuduhan tidak berasas itu.

“Sekiranya BNPN mempunyai bukti terhadap dakwaan yang pernah dibuat, kemukakanlah secara terbuka. Jika tidak, wajar tuduhan tersebut ditarik balik dan dibetulkan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Semalam, Ismail dilaporkan memberikan aku janji kepada Yang Dipertuan Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mempertahankan kedaulatan institusi diraja, mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta melaksanakan segala ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Dalam pada itu, PHNS memaklumkan dakwaan bahawa institusi istana Negeri Sembilan dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan gabungan itu serta kedudukan agama Islam terancam ketika pentadbiran terdahulu adalah tidak berasas.

PHNS turut menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, mempertahankan kedaulatan institusi diraja, menghormati adat dan perlembagaan serta memperjuangkan dasar dan pentadbiran yang mengutamakan kebajikan rakyat.

-- BERNAMA