Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 20/11/2026 04:01 PM

Ismail Tidak Pernah Setuju Surat Peletakan Jawatan Dikemukakan Kepada Tuanku Muhriz

Ismail Tidak Pernah Setuju Surat Peletakan Jawatan Dikemukakan Kepada Tuanku Muhriz
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim ketika sidang media khas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 20 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya dikemukakan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, seperti yang dilaporkan pada Isnin.

Beliau berkata surat berkenaan sememangnya berada dalam simpanan pimpinan parti, namun beliau tidak pernah bersetuju supaya surat itu dihantar kepada Tuanku Muhriz dalam keadaan sedemikian.

“Surat peletakan jawatan itu saya tidak hantar sendiri kepada Tuanku … begini, surat peletakan jawatan itu memang ada disimpan oleh pimpinan parti, tetapi saya tidak pernah bersetuju surat itu dihantar dalam keadaan begini.

“Saya tahu perkara itu melalui media sosial dan Tuanku juga tidak terima dengan cara seperti ini.  Saya tidak ada mengemukakan, mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku … saya pun tidak tahu siapa yang menyerahkan surat berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap, di sini pada 10.17 pagi tadi, bagi menghadap Tuanku Muhriz, susulan kemelut yang melanda negeri ini.

Perjumpaan itu turut dihadiri Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi.

Hasil perjumpaan tersebut, Ismail merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata Tuanku Muhriz menitahkannya untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Kemelut status jawatan Menteri Besar itu timbul apabila Ismail dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar menerusi kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Isnin.

Zambry berkata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan tersebut yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata keutamaan kerajaan negeri ketika ini ialah memulihkan kelancaran pentadbiran negeri yang menurutnya, terjejas susulan ketiadaan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan banyak keputusan kerajaan negeri tidak dapat dibuat berikutan ketiadaan mesyuarat MMK.

“Pentadbiran kerajaan negeri yang banyak terganggu sekarang ini sebab ketiadaan Exco. Jadi, saya akan memohon perkenan Tuanku Muhriz untuk kita melantik semula Exco baharu seperti yang diperkenankan oleh Tuanku,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata keputusan tentang pelantikan itu terletak pada perkenan Tuanku Muhriz, manakala senarai nama Exco masih belum disediakan setakat ini dan perkara itu akan diusahakan secepat mungkin.

Beliau berkata perbincangan mengenai tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk persidangan belanjawan, hanya akan dilakukan selepas urusan pelantikan Exco diselesaikan.

Mengulas isu adat yang turut menjadi perhatian dalam kemelut negeri, Ismail berkata perkara berkaitan dengan adat perlu diselesaikan mengikut saluran dan kaedah adat, tanpa menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

-- BERNAMA