Berita Terkini
Urusan Pentadbiran N. Sembilan Perlu Ikut Tertib Perlembagaan - Mohamad Hasan
SEREMBAN, 20 Nov (Bernama) -- “Saya datang hari ini nak selesaikan masalah,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini malam ini.
Kenyataan ringkas itu dibuat ketika beliau hadir bagi menghadiri mesyuarat, yang difahamkan melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.
Mohamad yang dijangka mempengerusikan mesyuarat itu, turut menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan pentadbiran negeri mesti dilaksanakan mengikut tertib perlembagaan dan lunas undang-undang tanpa mengambil jalan pintas.
“Negara kita negara yang berperlembagaan, negara yang ada undang-undang. Jadi, semuanya mesti dilakukan dengan betul. Tiada jalan pintas dalam perlembagaan.
“Ikutlah tertib. Jangan ambil jalan pintas. Saya rasa jika dilakukan secara teratur, tidak akan timbul sebarang isu," katanya kepada pemberita.
Mohamad menegaskan bahawa pematuhan terhadap proses dan peruntukan undang-undang penting bagi memastikan setiap keputusan berkaitan pentadbiran negeri dibuat secara teratur.
Sementara itu, pada sidang media awal hari ini, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugas bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.
Susulan itu, Istana Negeri Sembilan menjelaskan mereka tidak meminta Datuk Ismail Lasim untuk kekal sebagai Menteri Besar, sambil menegaskan bahawa beliau mesti membuktikan sokongan majoriti berterusan di dalam Dewan Undangan Negeri, bagi menentukan kedudukannya, selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata perkara itu memerlukan penyelesaian, susulan majlis menghadap Ismail ke atas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, pagi ini.
Kontroversi mengenai kedudukan Ismail timbul pada malam Isnin (16 Nov), apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BN, mengumumkan bahawa Menteri Besar itu telah meletak jawatan.
Zambry berkata Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan yang didakwa dialamatkan dan dihantar kepada Tuanku Muhriz.
Pada Selasa, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- 24 Adun BN, PN Negeri Sembilan Sepakat Patuhi Keputusan Pucuk Pimpinan
- Istana Negeri Sembilan: Ismail Lasim Mesti Buktikan Sokongan Majoriti Untuk Kekal Sebagai MB
- Banjir Di Selangor, Perak, Negeri Sembilan Semakin Pulih, PPS Di Pahang Tutup Sepenuhnya
- Ismail Tidak Pernah Setuju Surat Peletakan Jawatan Dikemukakan Kepada Tuanku Muhriz
- Ismail Ikrar Pertahan Tuanku Muhriz Sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah