Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 11/10/2026 05:45 PM

Jerebu: Sekolah Di Beberapa Negeri Dibuka Semula Esok Susulan Penurunan IPU

Jerebu: Sekolah Di Beberapa Negeri Dibuka Semula Esok Susulan Penurunan IPU

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, termasuk Putrajaya serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor akan dibuka semula serta beroperasi seperti biasa bermula esok.

Di KUALA LUMPUR, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam kenyataan memaklumkan institusi pendidikan KPM di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul dan PPD Keramat antara yang terlibat susulan penurunan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan berkenaan selama tiga hari berturut-turut.

“Bacaan akhir mencatatkan paras sederhana, iaitu IPU 84 di Stesen CA15W Batu Muda setakat 2.00 petang hari ini. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi kawasan ini ditamatkan,” menurut kenyataan itu. 

JPWPKL bagaimanapun memaklumkan, sekolah-sekolah di bawah PPD Bangsar/Pudu kekal ditutup sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, memandangkan kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 152 di Stesen CA16W Cheras bagi tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran (PdP), pelaksanaan PdPR serta arahan BDR untuk guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di PPD Bangsar/Pudu diteruskan.

Di SELANGOR, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan semua sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana kekal ditutup berikutan perkembangan bacaan IPU semasa.

JPNS menerusi kenyataan turut memaklumkan, semua sekolah di daerah-daerah lain di negeri itu akan beroperasi seperti biasa esok.

“Warga pendidik dan ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah yang berkaitan.

“Maklumat lanjut mengenai pengoperasian dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi KPM dan JPNS,” menurut kenyataan itu.

Situasi sama turut direkodkan di MELAKA, apabila kualiti udara mencatatkan bacaan sederhana di bawah 100 mengikut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat 2 petang dengan Alor Gajah (91), Bukit Rambai (94) dan Bandaraya Melaka (96).

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan semua institusi pendidikan KPM akan beroperasi seperti biasa esok berdasarkan pemantauan kualiti udara terkini. 

JPNS turut menyarankan murid yang bergejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko agar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, di PAHANG, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang turut memaklumkan semua sekolah di negeri berkenaan akan beroperasi seperti biasa esok, dengan pemantauan berterusan terhadap situasi jerebu serta bacaan IPU dilakukan dari semasa ke semasa menerusi PPD masing-masing.

Dalam pada itu, di PUTRAJAYA, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan semua sekolah di bawah jabatan itu akan beroperasi seperti biasa esok susulan bacaan IPU yang kekal di bawah paras 150.

Menurut JPWPP, analisis perkembangan bacaan IPU menunjukkan penurunan secara konsisten dalam tempoh tiga hari, dengan bacaan IPU berada pada paras 70 setakat 2 petang tadi.

-- BERNAMA