Berita Terkini
Belanjawan 2027: Prasarana Lebih Baik Pacu Pelaburan Negeri Sembilan, Tingkat Akses - Ismail Lasim
SEREMBAN, 10 Okt (Bernama) -- Penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dijangka meningkatkan daya tarikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan, seiring pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 yang sedang rancak dilaksanakan.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata pembinaan jalan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bandar Enstek, merupakan antara kemudahan penting yang dapat menyokong pembangunan kawasan berkenaan, selain memudahkan pergerakan dan meningkatkan akses.
“Alhamdulilah, Negeri Sembilan tak ketinggalan mendapat manfaat daripada Belanjawan 2027 yang diumumkan semalam, antaranya jalan baharu dari KLIA ke Bandar Enstek, selain naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak. Pembinaan jalan baharu ini juga merupakan pelengkap kepada pembangunan MVV 2.0.
“Ini merupakan perkara bermakna dan a good selling point kepada kerajaan negeri, selain kelebihan untuk Negeri Sembilan menarik lebih ramai pelabur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Sembilan hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi REHDA negeri Datuk Hoo Kim See.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata Kerajaan MADANI melengkapkan pembangunan MVV 2.0, dengan prasarana seperti jalan baharu KLIA ke Bandar Enstek, naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak dan pelaksanaan Projek Klang Valley Dual Track 2.
Dalam pada itu, Ismail berkata pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu Rembau turut memberi manfaat kepada negeri itu, sekali gus menambah kemudahan kesihatan untuk rakyat khususnya ketika beberapa hospital sedia ada di Negeri Sembilan berdepan masalah, termasuk kekurangan katil.
Beliau berkata kemudahan itu penting bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan negeri, selain melengkapi usaha kerajaan menambah baik fasiliti kesihatan untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 tersebut, dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat seperti yang dirancang.
Ismail berkata pelaksanaan yang lancar dan menepati tempoh ditetapkan amat penting, kerana kelewatan atau masalah dalam pelaksanaan projek boleh menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat, yang meletakkan harapan terhadap pengumuman kerajaan.
“Yang penting bukan sahaja pengumuman perbelanjaan itu, tetapi kaedah pelaksanaannya. Ada masanya kita umum banyak, tetapi pelaksanaannya tersangkut dan tidak mengikut masa dan ini akan memberi masalah kepada rakyat yang menaruh harapan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa menjadi pemudah cara dan memberikan kerjasama melalui jabatan berkaitan bagi memudahkan pelaksanaan projek berkenaan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat dalam tempoh ditetapkan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Polis Negeri Sembilan Sedia Bantu Penugasan PRN Melaka
- Jerebu: Semua Institusi Pendidikan Di Negeri Sembilan Ditutup Esok
- Belanjawan N.Sembilan Tetap Dibentang Walau Tanpa Exco - Ismail
- Kes Pelajar Maut: Dua Remaja Didakwa Esok
- Krisis Negeri Sembilan: Undang Johol, Tiga Bekas Undang Tarik Balik Semakan Kehakiman