Berita Terkini
Belanjawan 2027: Negeri Sembilan Mohon Tumpuan Infrastruktur, Air, Bencana
Oleh Nursyabiha Sukri
SEREMBAN, 3 Okt (Bernama) -- Pemerkasaan infrastruktur kritikal, keterjaminan bekalan air dan kesiapsiagaan bencana antara keutamaan Negeri Sembilan untuk pertimbangan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata senarai harapan itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan akses pendidikan, kualiti perkhidmatan kesihatan serta pengukuhan sekuriti makanan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Beliau berkata keutamaan itu disusun berdasarkan fungsi strategik setiap projek dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan negeri yang lebih seimbang.
Menyentuh sektor pengangkutan, beliau berkata pembangunan rangkaian jalan raya penting bagi mempertingkat kesalinghubungan serta melancarkan mobiliti rakyat dan barangan, selain membuka laluan terus ke hab perindustrian, logistik dan pusat pertumbuhan baharu.
“Negeri Sembilan memohon sokongan kerajaan Persekutuan untuk menyediakan enabling infrastructure yang membolehkan pertumbuhan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat bergerak secara serentak," katanya kepada Bernama.
Ismail berkata kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dalam memastikan projek dan program pembangunan dapat dilaksanakan, dipantau dan dinilai, seterusnya memastikan rakyat dapat menikmati hasilnya.
Beliau berkata sokongan kerajaan Persekutuan dilihat sebagai pemangkin untuk menyediakan asas pembangunan jangka sederhana dan panjang yang kukuh di Negeri Sembilan.
Memperincikan keperluan mengikut daerah, katanya Seremban dan Port Dickson menuntut penambahbaikan infrastruktur secara agresif bagi menampung kepesatan pertambahan penduduk, kerancakan sektor perumahan, industri serta mobiliti harian.
Bagi daerah Rembau, beliau berkata tumpuan terarah kepada lonjakan kapasiti bekalan air dan kemudahan kesihatan, manakala Jempol memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi luar bandar dan keterjaminan makanan agar kemakmuran dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Ismail berkata semua cadangan pembangunan itu selaras dengan perancangan jangka panjang Negeri Sembilan bagi tempoh 2026 hingga 2035 yang menekankan pertumbuhan ekonomi dan sosial, kemampanan tempatan serta pembangunan inklusif.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- DAP N. Sembilan Buat Laporan Polis Berhubung Hantaran Kaitkan Institusi Diraja
- Mesyuarat 25 Adun Fokus Khidmat Rakyat, Bukan Isu Istana - Jalaluddin
- PKR N. Sembilan Harap Kemelut Pentadbiran Negeri Segera Selesai - Aminuddin
- Kemelut Negeri Sembilan: Ismail Selesai Menghadap Tuanku Muhriz
- Kemelut Negeri Sembilan: Menteri Besar Menghadap Tuanku Muhriz Hari Ini