Berita Terkini
Kemelut Negeri Sembilan Perlu Diselesaikan Ikut Institusi Adat, Sistem Sedia Ada - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim tidak dititah untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Kuala Lumpur semalam.
“Saya tak ada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap, dan kami tahu hanya daripada media saja,” kata beliau dan menambah hanya tahu mengenai perkara itu daripada laporan media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan itu perlu diselesaikan dengan baik.
“Pada hemat saya, soal interpretasi dalam perundangan dan juga soal kuasa, bukan hanya taksiran perundangan tetapi harus juga dihormati institusi dan establishment yang ada di Negeri Sembilan,” kata Timbalan Perdana Menteri.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan.
Sesi menghadap oleh Perdana Menteri petang semalam itu susulan kenyataan oleh Tuanku Muhriz dua hari lepas yang membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.
Ismail pula dilaporkan berkata tindakan memberhentikan atau menamatkan seseorang exco kerajaan negeri yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Anwar Tinggalkan Istana Negeri Sembilan Selepas Sejam Menghadap Tuanku Muhriz
- 10 Bekas Presiden Majlis Peguam Gesa Kerajaan Persekutuan Campur Tangan Dalam Kemelut Negeri Sembilan
- Anwar Dijangka Menghadap Tuanku Muhriz Di Istana Negeri Sembilan
- Tuanku Muhriz Batal Pelantikan Exco Kerajaan Negeri Sembilan Serta-merta
- Sistem Beraja Akan Gagal Jika Boleh "Ditukar Ikut Bulan" - PM Anwar