Berita Terkini
Segerakan Prosiding Mahkamah, Hentikan Polemik Terbuka - Syed Hamid Albar
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Prosiding mahkamah berkaitan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan wajar dipercepat bagi membolehkan persoalan undang-undang diselesaikan secara muktamad, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.
Bekas Menteri Undang-Undang itu berkata isu yang turut melibatkan adat, undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan perlu diselesaikan menerusi saluran undang-undang, bukannya perdebatan terbuka atau sentimen.
“Apabila satu pihak mengatakan mereka mempunyai hak dan pihak lain juga mengatakan perkara sama, bermakna wujud pertikaian yang perlu diputuskan.
“Mahkamah perlu mempercepat apa juga pendengaran yang diperlukan bagi merumuskan persoalan undang-undang itu,” katanya yang juga pernah menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Luar ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihak yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Peguam Negara dan kerajaan, berhak menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tindakan mereka tidak sewajarnya dianggap sebagai campur tangan selagi mahkamah belum memutuskan sebaliknya.
Beliau turut menggesa semua pihak mengelak daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang bercanggah kerana tindakan sedemikian hanya boleh menambahkan kegusaran serta menyukarkan usaha mencari penyelesaian secara munasabah dan rasional.
“Rakyat Malaysia keliru, orang luar (bukan tempatan) juga keliru. Ini bukan lagi soal dalaman sesuatu kumpulan atau negeri kerana telah menjadi kemelut umum yang dilihat rakyat yang perlu diselesaikan. Keadaan ini menjejaskan keyakinan. Ini tidak baik untuk politik Malaysia dan juga persepsi orang ramai,” katanya.
Syed Hamid berkata sebarang tindakan berkaitan kedudukan atau pelucutan jawatan perlu dibuat mengikut kaedah dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan serta undang-undang.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Rakyat Diingatkan Pelihara, Martabatkan Institusi Raja-raja
- Kemelut Negeri Sembilan: Semua Pihak Perlu Hormati UUTKNS - Azalina
- MMK N. Sembilan Tiada Kuasa Gantung Tugas SUK, Penasihat Undang-undang - AGC
- Kemelut Negeri Sembilan Perlu Diselesaikan Ikut Institusi Adat, Sistem Sedia Ada - Ahmad Zahid
- Anwar Tinggalkan Istana Negeri Sembilan Selepas Sejam Menghadap Tuanku Muhriz