Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 07/08/2026 11:32 AM

Tuanku Muhriz Ingatkan Exco Baharu Laksana Amanah Dengan Jujur, Adil Dan Profesional

Tuanku Muhriz Ingatkan Exco Baharu Laksana Amanah Dengan Jujur, Adil Dan Profesional
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH, 7 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah barisan Exco negeri yang baharu diingatkan supaya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil serta profesional. 

Baginda bertitah agar kesemua Exco tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan untuk kepentingan peribadi, keluarga ataupun sahabat, terutamanya dalam membuat keputusan pemberian tender atau projek kerajaan.

“Seperti yang pernah beta titahkan dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tinggi atau persons of honour.

“Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut berangkat sama ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

Tuanku Muhriz bertitah pelantikan itu adalah satu cabaran bagi semua barisan Exco selain menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan masing-masing.

Titah baginda, kesemua kepimpinan dilantik bertanggungjawab untuk merangka dasar dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan demi kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.

Baginda bertitah rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan negeri, justeru setiap dasar dan perancangan hendaklah dilaksanakan secara cekap, telus serta berkesan. 

Titah baginda, kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur melalui perancangan yang baik tetapi keupayaan menyampaikan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

Tuanku Muhriz turut menasihatkan barisan kepimpinan baharu agar meneruskan kecemerlangan kerajaan terdahulu, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil pendapatan negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat. 

Baginda bertitah Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi serta peningkatan hasil negeri yang membanggakan dan pencapaian itu hendaklah dipertahankan, diperkukuhkan serta terus dipertingkatkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Pada masa sama, segala kelemahan hendaklah dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada tahap cemerlang, berintegriti dan berkesan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut mendoakan agar Negeri Sembilan terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan keberkatan serta semua pihak yang diamanahkan untuk mentadbir negeri berkenaan sentiasa dipandu ke arah membuat keputusan yang adil, bijaksana dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

-- BERNAMA