Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 06/08/2026 05:02 PM

Kerajaan Baharu Johor, Negeri Sembilan Disaran Fokus Prestasi Pentadbiran

Kerajaan Baharu Johor, Negeri Sembilan Disaran Fokus Prestasi Pentadbiran
Datuk Anbumani Balan

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan baharu di Johor dan Negeri Sembilan disaran memberi tumpuan kepada pelaksanaan manifesto serta penyampaian perkhidmatan dalam tempoh awal pentadbiran, bagi memenuhi harapan dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Penganalisis politik dan perunding media Datuk Anbumani Balan berkata keutamaan kerajaan negeri ketika ini, sepatutnya ialah menterjemahkan janji pilihan raya kepada dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan infrastruktur dan kebajikan.

Beliau berkata Menteri Besar juga seharusnya menggunakan hari-hari awal pentadbiran untuk mengumumkan komitmen terhadap pelaksanaan manifesto, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Seharusnya pada hari pertama masuk pejabat selepas mengangkat sumpah, Menteri Besar bercakap mengenai manifesto yang dijanjikan kepada rakyat dan memberi komitmen bila ia akan dilaksanakan.

“Naratif itu penting untuk meyakinkan rakyat kerana itulah harapan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anbumani berkata kerajaan negeri tidak perlu menunggu sehingga 100 hari untuk memulakan pelaksanaan agenda pentadbiran, sebaliknya boleh mengambil langkah awal dengan melaksanakan inisiatif yang telah dijanjikan dalam manifesto.

“Rakyat sudah memberikan mandat. Mereka tidak ada masa untuk mendengar isu remeh-temeh. Mereka mahu mendengar, melihat dan merasai apa yang mereka dapat setelah pangkah (mengundi) untuk memastikan kemenangan parti,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian mengingatkan bahawa pengundi kini lebih kritikal dalam menilai prestasi kerajaan dan mahukan sebuah pentadbiran yang stabil, cekap, responsif serta boleh dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata ini bermakna mereka mengharapkan kerajaan negeri kembali memberi fokus kepada pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan dan bukannya terus terperangkap dengan isu politik pasca pilihan raya.

“Mesej pengundi kepada kedua-dua kerajaan negeri mudah, iaitu pilihan raya sudah selesai dan politik mesti dikurangkan dan prestasi pentadbiran perlu diperingkatkan. Mereka mahu melihat kestabilan, kejelasan pembahagian portfolio dan kecekapan.

“Jangan sampai percaturan politik memberi gambaran bahawa kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan negeri,” katanya.

Pada 1 Ogos, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Negeri Sembilan, selepas memperoleh majoriti mudah.

Daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, BN memenangi 18 kerusi, PN tujuh kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh 11 kerusi.

Pembentukan kerajaan itu menyusul kejayaan BN mempertahankan pentadbiran di Johor pada PRN yang berlangsung Julai.

-- BERNAMA