Berita Terkini
Ismail Terajui Tiga Portfolio Pentadbiran Kerajaan N. Sembilan
KUALA PILAH, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengetuai tiga portfolio utama dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal 2026-2031, termasuk Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan FELDA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu turut mengumumkan lantikan sepuluh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk mengekalkan dua exco iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Mustapha Nagoor (Palong).
Mohd Faizal dilantik Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, manakala Mustapha kekal dengan portfolio lama sebagai Exco Pembangunan Belia dan Sukan.
Ismail berkata barisan exco diingatkan memikul amanah diberikan dengan penuh tanggungjawab kerana tugas mentadbir negeri memerlukan komitmen serta kesungguhan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Saya yakin dan percaya semua barisan diperkenankan Tuanku (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) faham betapa besarnya tanggungjawab kita untuk menjaga keharmonian dan kemajuan Negeri Sembilan. Lebih penting lagi mensejahterakan rakyat yang telah memberi undi dan keyakinan kepada kita,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan melantik seorang pegawai daripada masyarakat India bertaraf exco di bawah Pejabat Menteri Besar bagi memastikan komuniti itu turut mempunyai peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Ini untuk kita berikan peluang pelbagai kaum (dalam kerajaan negeri)…wakil berkenaan adalah daripada MIC dan nama calon telah dikemukakan oleh parti itu...bila dilantik) nanti kita putuskan dalam mesyuarat Exco," katanya sambil menambah tiada keperluan melantik timbalan exco.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mempertimbangkan pelantikan seorang wakil masyarakat Orang Asli dalam pentadbiran dan akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mendapatkan calon yang sesuai.
Terdahulu kesemua Exco selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.
Turut menganggotai barisan exco baharu Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong) memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan, Siow Kong Choon (Chennah) sebagai Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng) dilantik Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, manakala Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui) sebagai Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Suhaimizan Bizar (Gemencheh) sebagai Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Dalam pada itu wakil Perikatan Nasional (PN) iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) memegang portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) dilantik Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tujuh kerusi sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- 10 ADUN Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Hari Ini
- Tuanku Muhriz Ingatkan Exco Baharu Laksana Amanah Dengan Jujur, Adil Dan Profesional
- Kerajaan Baharu Johor, Negeri Sembilan Disaran Fokus Prestasi Pentadbiran
- Majlis Angkat Sumpah Barisan Exco N Sembilan Baharu Esok
- Anthony Loke Letak Jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan