Berita Terkini
PRN NS: 859,151 Pengundi Tunai Tanggungjawab Esok
TAMPIN, 31 Julai (Bernama) -- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok akan menyaksikan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos, menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata sejumlah 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran akan dibuka serentak dari 8 pagi hingga 6 petang.
"Sebanyak 15,344 petugas pilihan raya ditugaskan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar," katanya selepas hadir di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana Tampin di sini hari ini.
Mengulas mengenai jangkaan waktu keputusan pilihan raya, beliau berkata SPR menyasarkan keputusan dapat diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka diperoleh sebelum tengah malam.
Di Tampin yang merangkumi tiga kerusi DUN iaitu Gemas, Gemencheh dan Repah merekodkan sebanyak 77,725 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian.
Kerusi DUN Gemas menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Ridzuan Ahmad daripada WAWASAN, Siti Aishah Seman@Othman yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Azman Abdullah daripada Bersatu.
Sementara itu, DUN Gemencheh menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Suhaimizan Bizar daripada Barisan Nasional (BN) dan Abd Latib A Tambi yang mewakili PH.
Bagi kerusi DUN Repah pula, pertandingan turut menyaksikan saingan satu lawan satu antara Koh Kim Swee daripada MCA dan penyandang S Veerapan daripada PH.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana Tampin mendapati segala persiapan akhir bagi menghadapi proses pengundian esok, berjalan lancar.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka