Berita Terkini
PRN Negeri Sembilan: Pengundi Diminta Semak Maklumat Dengan Media Arus Perdana - Fahmi
BUKIT MERTAJAM, 25 Julai (Bernama) -- Pengguna media sosial khususnya pengundi di Negeri Sembilan diminta lebih berhati-hati serta mendapatkan pengesahan daripada media arus perdana sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting berikutan terdapat kandungan lama yang dikitar semula seolah-olah kenyataan baharu, selain penyebaran maklumat dan kenyataan media palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Kita minta semua pengguna media sosial, terutama pengundi di Negeri Sembilan untuk berhati-hati dengan kandungan yang tersebar dalam talian.
“Rujuk media arus perdana untuk pengesahan tentang sesuatu kenyataan ataupun berita… dan jika sesuatu insiden, kenyataan itu tidak dilaporkan dalam media arus perdana, kita kena berhati-hati kerana itu mungkin berita palsu ataupun berita daripada zaman yang berbeza, bukan waktu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Karyawan Pulau Pinang Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz.
Sehubungan itu, Fahmi meminta organisasi media memainkan peranan lebih aktif dalam membuat pengesahan serta memberikan penjelasan terhadap kandungan yang tular di media sosial bagi mengekang penyebaran berita palsu.
Beliau berkata gesaan itu susulan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 16 laporan berkaitan berita palsu dan aduan mengenai masalah rangkaian Internet sejak kempen PRN Negeri Sembilan bermula.
Katanya, antara cabaran utama ketika ini ialah ramai pengguna menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp tanpa membuat semakan terhadap kesahihannya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin