Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 25/07/2026 03:41 PM

PRN NS: PH Seru Pengundi Tunai Tanggungjawab Pada 1 Ogos

PRN NS: PH Seru Pengundi Tunai Tanggungjawab Pada 1 Ogos
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Linggi Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga, kiri) diiringi Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyantuni orang ramai ketika berkempen di Pekan Linggi, hari ini.

PORT DICKSON, 25 Julai (Bernama) -- Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari menyeru semua pengundi yang layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.

Beliau berkata tidak seperti Johor yang memerlukan pengundi menempuh perjalanan jauh, Negeri Sembilan tidak memerlukan tempoh perjalanan yang lama untuk pulang mengundi selain kebanyakan pengundi bekerja di sekitar Lembah Klang.

“Dengan cuaca yang kurang menentu sekarang, saya tetap menyeru untuk semua pengundi balik melaksanakan tanggungjawab mereka dan memilih apa yang sewajarnya untuk masa depan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di Pekan Linggi di sini.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata PH akan menganjurkan Munajat Perdana pada malam 30 Julai (Khamis) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini manakala hari mengundi 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA