Berita Terkini
PRN N. Sembilan: Strategi Kempen PH Ikut Keperluan, Karakter Lokaliti Pengundi - Loke
JELEBU, 20 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menyusun strategi kempen mengikut keperluan dan karakter setiap lokaliti bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada pengundi ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Setiausaha Agung DAP yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah Anthony Loke berkata ini kerana setiap kampung memerlukan pendekatan berbeza dan jentera parti sentiasa bergerak mengikut perancangan ditetapkan.
“Kempen setakat ini berjalan dengan lancar, kawasan dalam DUN Chennah ini memang kita ada susunan tertentu di setiap tempat yang berlainan kerana kampung ada pendekatan berlainan.
“Semua calon PH juga telah memulakan gerak kerja kempen masing-masing dengan turun padang bertemu pengundi dan mendengar sendiri pandangan rakyat dalam tempoh tiga hari kempen bermula ini,” katanya kepada pemberita selepas jelajah mesra bersama penduduk di Pekan Titi di sini hari ini.
Mengenai manifesto PH, Loke berkata ia mengandungi pelbagai tawaran untuk manfaat rakyat dan akan diumumkan secara rasmi malam ini.
“Saya pun tunggu pengumuman malam ini, manifesto itu disediakan oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab, dirundingkan dan dibincangkan sebelum dimuktamadkan. Jadi kita tunggu pelancaran rasmi malam ini,” katanya.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berdepan saingan satu lawan satu dengan Siow Kong Choon dari Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak 2013.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari mengundi 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin