Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 19/07/2026 05:26 PM

PRN NS: Pembangunan Orang Asli Antara Fokus Ahmad Faez Di Labu

PRN NS: Pembangunan Orang Asli Antara Fokus Ahmad Faez Di Labu
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak (kanan) ketika sesi dialog pada Program Memperkasa Wanita Orang Asli di Kampung Orang Asli Tekir, hari ini.

SEREMBAN, 19 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak bertekad memperkasakan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di kawasan itu menerusi penambahbaikan infrastruktur serta peluang ekonomi.

Beliau berkata antara keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ialah membawa isu tanah adat Kampung Orang Asli Tekir ke peringkat DUN selain menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan raya dan capaian Internet.

“Aspek pendidikan dan pembangunan belia juga perlu diberi perhatian memandangkan mereka mempunyai potensi besar namun memerlukan sokongan bagi meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Memperkasa Wanita Orang Asli di Kampung Orang Asli Tekir di sini hari ini.

PRN NS: Pembangunan Orang Asli Antara Fokus Ahmad Faez Di Labu
Datuk Ahmad Faez Abdul Razak (depan, empat kiri) bersama para peserta pada Program Memperkasa Wanita Orang Asli di Kampung Orang Asli Tekir, hari ini.

Ahmad Faez berkata masyarakat Orang Asli di kampung tersebut turut mempunyai potensi dalam penghasilan kraftangan yang boleh dipasarkan secara lebih meluas bagi meningkatkan pendapatan komuniti.

Selain itu, beliau berkata pendekatan pertanian moden seperti penggunaan sistem fertigasi akan diperkenal bagi membantu mereka meningkatkan hasil pertanian dan menjadikan sektor berkenaan sebagai sumber pendapatan yang lebih mampan.

Ahmad Faez berkata komitmen membantu penduduk DUN Labu telah dilakukan sejak dua tahun lepas dan beliau akan terus turun padang bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.

“Saya bukan datang hanya ketika pilihan raya... sejak awal lagi saya sudah berada di sini, membantu sedaya upaya dan akan terus berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut menyeru pengundi di kawasan itu supaya memberikan mandat kepada PH bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi manfaat semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Kampung Orang Asli Tekir Nasir Musil berharap mana-mana wakil rakyat yang dipilih pada PRN kali ini dapat memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi komuniti berkenaan terutama di kampung tersebut yang mempunyai 796 penduduk.

Beliau turut membangkitkan isu lembu berkeliaran yang disifatkan sebagai masalah berpanjangan sehingga mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya dan berharap ia dapat diselesaikan.

Nasir berkata Ahmad Faez adalah antara pemimpin yang sering turun padang ke kampung itu selain menghulurkan bantuan.

Pada PRN kali ini, Ahmad Faez yang pertama kali bertanding berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Siti Nur Umaira Hasim mewakili Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA