Berita Terkini
PRN NS: Komuniti India Perlu Pilih Kestabilan Jangka Panjang - Penganalisis Politik
SEREMBAN, 19 Julai (Bernama) -- Komuniti India perlu membuat pilihan berpaksikan kestabilan politik jangka panjang dengan menilai prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, kata penganalisis politik Datuk Anbumani Balan.
Beliau berkata komuniti berkenaan tidak seharusnya membiarkan undi mereka dipengaruhi oleh percaturan politik yang hanya berorientasikan perebutan kuasa.
Anbumani berkata komuniti India perlu melihat melangkaui kempen pilihan raya dengan menilai gabungan politik yang mampu menawarkan kestabilan jangka panjang.
“Kestabilan adalah asas kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kemasukan pelaburan serta kesejahteraan rakyat, dengan setiap kerajaan negeri memiliki pencapaian masing-masing untuk dinilai.
“Komuniti India tidak seharusnya membiarkan diri dipergunakan untuk percaturan politik bagi merebut kuasa. Apa yang lebih penting ialah memilih kepimpinan yang mempunyai rekod prestasi, dasar yang jelas serta komitmen untuk terus membangunkan masyarakat secara inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata walaupun komuniti India dianggap kaum minoriti tetapi peranan mereka dalam proses pembangunan negara bersama kaum-kaum yang lain tidak boleh dinafikan, malah kuasa politik masyarakat India sentiasa menjadi kuasa penentu dalam mana-mana pilihan raya khususnya di kawasan campuran.
Anbumani yang juga perunding media berkata PRN Negeri Sembilan bakal menjadi medan penting untuk melihat sejauh mana pengundi khususnya komuniti India memilih berdasarkan rekod pencapaian dan kestabilan pentadbiran.
Komuniti India, katanya kini lebih kritikal dalam membuat keputusan dan tidak lagi bergantung kepada sentimen politik semata-mata, sebaliknya menilai sama ada sesuatu kerajaan benar-benar mampu membawa perubahan dalam kehidupan harian.
"Undi komuniti India bukan sekadar menentukan siapa yang membentuk kerajaan negeri tetapi turut mencorakkan hala tuju pembangunan masyarakat untuk tahun-tahun mendatang. Oleh itu, pilihan yang dibuat perlu berpandukan kestabilan, prestasi dan keupayaan mentadbir demi masa depan yang lebih baik," katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.
Sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin