Berita Terkini
PRN N. Sembilan: Dua Sepupu Bertembung Raih Sokongan Pengundi Di Pasar Minggu Kuala Klawang
JELEBU, 19 Julai (Bernama) -- Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pasar Minggu Kuala Klawang pagi ini mencuri perhatian apabila dua sepupu yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bertembung ketika masing-masing turun padang meraih sokongan pengundi.
Penyandang kerusi DUN Klawang Datuk Bakri Sawir daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Danni Rais, dilihat menyantuni pengunjung serta peniaga di pasar berkenaan dalam kempen yang memasuki hari kedua hari ini.
Kehadiran kedua-dua calon pada waktu yang hampir sama menarik perhatian orang ramai, dengan sebahagian pengunjung mengambil peluang bersalaman, berbual dan merakam gambar serta video ketika mereka melalui laluan yang sama di kawasan pasar.
Walaupun berbeza parti politik dan kini bersaing merebut kerusi yang sama, pertembungan kedua-dua sepupu itu berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni apabila masing-masing meneruskan kempen secara berasingan tanpa sebarang provokasi, malah sempat bergurau senda.
Bakri ketika ditemui Bernama berkata beliau tidak melihat persaingan dengan sepupunya sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya menganggap pilihan raya sebagai medan menawarkan khidmat kepada rakyat.
“Bagi saya, tiada cabaran tertentu. Yang penting kita berkempen secara sihat dan mengikut peraturan. Semalam pun apabila kami ditegur oleh Majlis Daerah Jelebu berhubung pemasangan bendera di pagar stadium, kami terus mengambil tindakan menurunkannya.
“Kalau kita sendiri tidak menghormati undang-undang, bagaimana kita hendak meminta orang lain menghormatinya?” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak, khususnya jentera parti untuk memastikan tempoh berkempen berlangsung dalam suasana tertib dan saling menghormati demi menjaga keharmonian sepanjang PRN berlangsung.
Pada PRN kali ini, DUN Klawang yang mempunyai 13,355 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Bakri, Danni dan Muhammad Adib Musa mewakili Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Berita Lain
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN NS: Nurul Izzah Seru Sokong Calon PH, Kekalkan Aminuddin