Berita Terkini
PRN NS: Isu Infrastruktur, Kebajikan FELDA Jadi Fokus Utama Kempen Tiga Calon PH Di Jempol
JEMPOL, 18 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Parlimen Jempol mahu menjadikan penyelesaian isu struktur, penyediaan kemudahan asas dan kebajikan komuniti FELDA sebagai antara fokus utama kempen bagi menarik sokongan.
Bagi calon PH DUN Jeram Padang, G. Manivannan, tumpuan utamanya adalah untuk menyelesaikan isu peluang pekerjaan, pendidikan, dan infrastruktur yang disifatkannya sebagai keperluan asas masyarakat.
Berbekalkan pengalaman hampir 20 tahun dalam politik termasuk sebagai bekas Ahli Parlimen Kapar, Setiausaha Politik di Pejabat Presiden PKR itu yakin pengundi di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) itu kini lebih matang menilai kewibawaan calon.
"Saya percaya rakyat mahukan pemimpin yang memahami struktur kerajaan negeri dan Persekutuan serta mampu membawa peluang daripada kedua-dua peringkat itu ke peringkat akar umbi.
“Saya turun ke Jeram Padang kerana tahu ada masalah dan saya yakin boleh menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon melibatkan empat kerusi iaitu DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, di sini, hari ini.
Manivannan yang merupakan peguam, akan ditentang penyandang kerusi berkenaan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir daripada BN, R. Sri Sanjeevan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia-Bersatu) dan Dayana Dal (Parti Orang Asli Malaysia- ASLI) dalam saingan empat penjuru.
Sementara itu, calon PH bagi DUN Serting, Yaacob Mahmood yang menetap selama 43 tahun di Bandar Baru Serting, komited untuk membela kebajikan peneroka terutamanya generasi kedua Felda.
Beliau berkata isu sekatan penyambungan elektrik dan air untuk kediaman generasi kedua kini mula menampakkan jalan penyelesaian selepas perhatian serius diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Baru-baru ini, Perdana Menteri telah meluluskan permohonan agar bekalan elektrik dan air dibenarkan masuk ke rumah generasi kedua. Ini adalah satu rahmat dan permintaan besar daripada anak-anak peneroka yang akhirnya ditunaikan," katanya.
Di DUN Serting, Yaacob ditentang penyandangnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohd Fairuz Mohd Isa dan calon Bersatu Muhammad Noraffendy Mohd Salleh @ Affendy Salleh dalam saingan tiga penjuru.
Sementara itu, calon PH bagi DUN Palong Mohd Zahin Zinal Abidin menyifatkan mandat bertanding di kawasan itu sebagai amanah besar untuknya.
Generasi kedua Felda itu berkata polemik yang membelenggu masa depan komuniti Felda akan dijadikan agenda utama dalam kempennya pada PRN kali ini.
"Fokus utama kami adalah meneliti dan memperjuangkan isu kritikal yang melibatkan generasi kedua, khususnya dari aspek perumahan, kebajikan, dan pemerkasaan ekonomi mereka," katanya yang menetap di Felda Palong 8, di sini.
Pada PRN kali ini, Muhammad Zahin akan ditentang penyandangnya Datuk Mustapha Nagoor daripada BN dan calon Bersatu Rebin Birham.
Sementara itu, DUN Bahau pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan Teo Kok Seong dengan calon daripada BN Chong Fui Ming.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Anwar Seru Pengundi Keluar Mengundi, Beri Peluang PH Teruskan Agenda Kestabilan
- RM328 Juta Untuk Laksana 24 Projek Pembangunan Kesihatan Di Negeri Sembilan
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: 859,151 Pengundi Tunai Tanggungjawab Esok