Berita
Sabah Belanja Lebih RM1 Bilion Bina Loji Rawatan Air - Hajiji
KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi melaksanakan projek pembinaan loji rawatan air sepanjang lima tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata antara projek loji rawatan air yang dilaksanakan ialah di Tawau yang kini mencapai kemajuan 50 hingga 60 peratus menerusi pinjaman mudah hampir RM400 juta manakala projek loji rawatan air Kogopon di Papar yang menggunakan pinjaman mudah RM385 juta, dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut memperoleh pinjaman mudah RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah di samping melaksanakan projek jangka panjang Empangan Ulu Padas menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan Gamuda.
“Projek Empangan Ulu Padas yang dijangka siap pada 2030 atau 2031 itu bukan sahaja membekalkan tenaga elektrik malah menjamin bekalan air untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang. Sabah juga masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60 peratus akibat kecurian air dan kebocoran paip.
“Sehubungan itu, RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi bagi menangani NRW ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah itu dikeluarkan sempena Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi.
Sementara itu, Hajiji menggesa Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim agar lebih proaktif turun padang mengenal pasti keperluan rakyat serta menjelaskan pencapaian lima tahun lepas dan agenda Hala Tuju SMJ (Sabah Maju Jaya) 2.0 supaya sokongan masyarakat terhadap pentadbiran negeri terus kukuh.
“Peranan pemimpin-pemimpin masyarakat ini amat besar kepada saya dan juga kerajaan. Kita bukan sahaja perlu amanah dan mempunyai integriti tinggi, tetapi mesti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil-wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada kita.
“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri,” katanya.
Beliau juga mahu PPM dan pemaju mukim memastikan permohonan serta keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing disalurkan menerusi saluran betul iaitu melalui PPM, Pegawai Daerah dan wakil rakyat, bukannya dikemukakan oleh pihak tidak sepatutnya seperti kontraktor.
Selain itu, Hajiji berkata PPM perlu membantu menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta termasuk membezakan tanggungjawab kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya kepada golongan yang tidak mengikuti perkembangan di media sosial bagi mengelakkan salah faham terhadap usaha kerajaan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- PH Sabah Sokong Hajiji Kekalkan Kerjasama GRS-BN-PH
- Jamawi Terima Jahitan Pada Kepala Selepas Tergelincir Di KLIA
- Barmuli Dilantik Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah
- JKR Sabah Nafi Penutupan Dua Jalan Utama Di Keningau Akibat Tanah Runtuh
- Sabah Sasar Semua Produk Pelancongan Komuniti Penuhi Standard ASEAN Menjelang 2030