Berita
Barmuli Dilantik Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah
KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Barmuli Parudin dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah baharu menggantikan penyandang terdahulu bagi menerajui usaha memperkukuh pembangunan Pergerakan Pengakap di negeri itu.
Pelantikan beliau disempurnakan oleh Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin menerusi Majlis Penyerahan Tauliah Pelantikan di Rumah B-P, Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di ibu negara, semalam.
Barmuli, 56, yang berasal dari Sandakan, memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam Pergerakan Pengakap, bermula sebagai Penolong Pemimpin di Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuyan Laut pada 1992.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan pada peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat, termasuk Pesuruhjaya Daerah Karamunting, Pesuruhjaya Kawasan Zon 1 Sandakan dan Pesuruhjaya Bahagian Sandakan.
Selain itu, beliau merupakan ahli Pasukan Latihan Negeri sejak 2006 serta Penolong Jurulatih Kebangsaan dan Jurulatih Antarabangsa sejak 2019.
Mohd Zin berkata pengalaman luas Barmuli diyakini mampu memperkukuh kepimpinan dan pembangunan Pergerakan Pengakap di Sabah.
Beliau berharap Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sabah dapat meningkatkan jumlah keahlian, menganjurkan program menarik, memperkukuh tadbir urus serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
"Pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memastikan Pergerakan Pengakap di Sabah terus berkembang serta kekal relevan dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berkemahiran dan mempunyai jati diri yang kukuh.
"PPM berharap pengalaman luas Barmuli dalam bidang kepimpinan, latihan dan pengurusan kepengakapan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh pentadbiran organisasi, meningkatkan kualiti program serta memperluas penyertaan masyarakat dalam Pergerakan Pengakap di Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Barmuli kini bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SK Nunuyan Laut, Sandakan, serta memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Sains Sosial dengan Kepujian daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Diploma Pengurusan Pendidikan daripada Institut Aminuddin Baki.
Sementara itu, Barmuli berkata memperkukuh perpaduan, meningkatkan keahlian dan memantapkan pencapaian PPM Negeri Sabah menjadi keutamaan beliau kini.
Barmuli yang pernah menjadi Penolong Pesuruhjaya Negeri berkata tanggungjawab menerajui gerakan Pengakap di Sabah memerlukan kerjasama dan sokongan seluruh warga pergerakan itu bagi memastikan organisasi tersebut terus berkembang.
"Bukan mudah untuk mentadbir (PPM) di sesebuah negeri, apalagi negeri sebesar Sabah. Jawatan ini cuma satu amanah, bukan satu kebanggaan sehingga kita lupa diri," katanya yang mula menyertai Pengakap ketika di sekolah menengah dan memperoleh Lencana Maju pada 1984.
Bagi menambah keahlian pergerakan itu, Barmuli berkata kerjasama dengan sekolah-sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri akan diperkukuh bagi meningkatkan penyertaan murid dalam gerakan Pengakap.
Selain itu, beliau akan memberikan penekanan pada pencapaian dan pembangunan ahli, daripada peringkat Pengakap Kanak-Kanak sehinggalah Pengakap Kelana, serta merapatkan hubungan sesama pemimpin dan ahli termasuk menggalakkan mereka yang kurang aktif kembali menyumbang kepada pergerakan ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- JKR Sabah Nafi Penutupan Dua Jalan Utama Di Keningau Akibat Tanah Runtuh
- Sabah Sasar Semua Produk Pelancongan Komuniti Penuhi Standard ASEAN Menjelang 2030
- Hala Tuju GRS Hadapi PRU-16 Akan Ditentukan Secara Kolektif - Armizan
- Perkukuh Peranan Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Ketika Bencana - Armizan
- Garis Kemiskinan Makanan Sabah Perlu Realistik, Ambil Kira Cabaran Pedalaman