Berita
PH Sabah Sokong Hajiji Kekalkan Kerjasama GRS-BN-PH
KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong pendirian Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk meneruskan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam kerajaan negeri, demi kestabilan politik Sabah.
Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata kestabilan politik merupakan asas penting, bagi memastikan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan, serta penyampaian perkhidmatan yang menjadi keperluan utama rakyat.
“Keutamaan yang paling utama ialah memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, jalan raya dibaiki dan projek tebatan banjir siap mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata kerjasama antara negeri Sabah dengan kerajaan Persekutuan, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi impak positif kepada Sabah.
Antaranya ialah pemberian khas interim Sabah tahun ini, telah dinaikkan kepada RM1.5 bilion dan hak 40 peratus Sabah tetap diperakui untuk diselesaikan mengikut peruntukan perlembagaan.
Mustapha berkata kesediaan Ketua Menteri untuk meneruskan kerjasama antara GRS, PH dan BN mencerminkan jiwa besar beliau, dalam menyatukan rakan-rakan yang berbeza pandangan politik.
“Pendirian ini, menunjukkan bahawa kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan walaupun dalam kerencaman politik yang semakin dinamik,” katanya.
Semalam, Hajiji dilaporkan berkata kerjasama GRS, BN dan PH akan diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan perkara itu akan dibincangkan untuk mencapai persetujuan bersama.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Sabah Belanja Lebih RM1 Bilion Bina Loji Rawatan Air - Hajiji
- Jamawi Terima Jahitan Pada Kepala Selepas Tergelincir Di KLIA
- Barmuli Dilantik Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah
- JKR Sabah Nafi Penutupan Dua Jalan Utama Di Keningau Akibat Tanah Runtuh
- Sabah Sasar Semua Produk Pelancongan Komuniti Penuhi Standard ASEAN Menjelang 2030