Berita

Kemaskini: 17/11/2026 03:49 PM

Sabah Sasar Kemiskinan Mutlak Turun Tiga Hingga Lima Peratus Menjelang 2030

Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah menyasarkan pengurangan kadar kemiskinan mutlak di negeri itu kepada antara tiga hingga lima peratus menjelang 2030, selain memastikan sifar kemiskinan tegar dapat dikekalkan secara mampan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata sasaran itu memerlukan pelaksanaan pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan, termasuk menetapkan sasaran pengurangan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun.

Beliau berkata berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Okt, Sabah merekodkan sebanyak 55,555 KIR dalam kategori miskin, sekali gus angka itu sebagai asas penting dalam merangka strategi pembasmian kemiskinan negeri.

“Justeru, saya mahu angka ini dijadikan sebagai satu daripada data asas bagi penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam pelan berkenaan, dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata menerusi Pelan Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027-2030, setiap kementerian dan agensi berkaitan perlu menetapkan sasaran intervensi serta melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar daripada kemiskinan secara mampan.

Beliau turut menggesa pembangunan dasar atau garis panduan pemisah kemiskinan Sabah yang bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat, bagi memastikan usaha pembasmian kemiskinan tidak hanya tertumpu kepada pengurangan jumlah penerima bantuan.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor ekonomi biru termasuk perikanan, akuakultur dan pelancongan marin perlu diteroka secara lebih meluas bagi membuka peluang menjana pendapatan, selain memperkukuh kerjasama institusi pengajian tinggi dan industri untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata usaha memperbanyak peluang pekerjaan di Sabah juga penting bagi membolehkan rakyat negeri itu yang merantau ke Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki kembali membina kehidupan di negeri sendiri.

Sementara itu, menyentuh bidang pendidikan, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi peningkatan peruntukan tahunan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM160 juta tahun ini, iaitu hampir tiga kali ganda.

Beliau berkata sepanjang tempoh 2021 hingga 2026, sebanyak RM625 juta diperuntukkan bagi biasiswa berkenaan dengan 16,207 pelajar menerima manfaat secara terkumpul, termasuk 5,412 penerima bagi tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri menjadikan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang pembangunan rakyat Sabah.

-- BERNAMA