Berita
Perkukuh Peranan Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Ketika Bencana - Armizan
PAPAR, 21 Nov (Bernama) -- Penggunaan radio amatur sebagai sistem komunikasi alternatif ketika bencana perlu diperkukuh, bagi memastikan operasi menyelamat dan penyaluran bantuan kecemasan dapat diteruskan sekiranya rangkaian telekomunikasi utama mengalami gangguan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata komunikasi merupakan antara aspek terpenting dalam pengurusan bencana, khususnya bagi memastikan penyelarasan antara agensi kerajaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata bencana berskala besar boleh menyebabkan kerosakan infrastruktur telekomunikasi dan gangguan bekalan elektrik, sekali gus menjejaskan rangkaian telefon mudah alih, talian tetap serta Internet yang menjadi medium komunikasi utama masyarakat.
“Apabila Internet, rangkaian telefon talian tetap dan mudah alih terjejas disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik, infrastruktur, pencawang-pencawang yang runtuh, komunikasi akan terjejas. Itu sebabnya satu perkara penting ialah (mempunyai) alternatif kepada telekomunikasi konvensional dengan menggunakan radio amatur sebagai alternatif komunikasi yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata keperluan komunikasi alternatif itu terbukti ketika banjir dan tanah runtuh di daerah itu pada September tahun lepas, yang mengorbankan lima nyawa, menjejaskan 105 Ketua Isi Rumah (KIR) dan menyebabkan empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Beliau berkata gangguan jalan perhubungan, bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon ketika kejadian itu menyukarkan komunikasi serta operasi menyelamat di beberapa kawasan terjejas, sehingga frekuensi radio amatur 7.110 MHz diaktifkan pada 15 Sept bagi menyokong komunikasi kecemasan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan menerusi MCMC dan Kementerian Komunikasi mengambil pendekatan memperkukuh penyelarasan antara agensi pengurusan bencana dengan komuniti radio amatur supaya perkhidmatan komunikasi alternatif dapat diaktifkan segera apabila diperlukan.
Armizan berkata langkah itu penting bagi memastikan maklumat mengenai kedudukan mangsa, keadaan laluan dan keperluan bantuan termasuk bekalan makanan, dapat disampaikan kepada pihak berkaitan walaupun rangkaian komunikasi konvensional terjejas.
Armizan berkata berdasarkan rekod MCMC, Sabah mempunyai 1,313 callsign radio amatur aktif dan 18 stesen pemancar ulang atau repeater yang boleh menyokong keperluan komunikasi alternatif.
Sementara itu, Armizan berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur dan penyediaan aset kesiapsiagaan bencana menerusi Belanjawan 2027, termasuk peruntukan RM2.5 bilion bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak RM320 juta turut diperuntukkan bagi membaiki dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan, manakala NADMA menerima RM260 juta dengan keutamaan kepada penyediaan lebih banyak Pusat Pemindahan Kekal Bencana serta perolehan aset dan peralatan kesiapsiagaan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Barmuli Dilantik Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah
- JKR Sabah Nafi Penutupan Dua Jalan Utama Di Keningau Akibat Tanah Runtuh
- Sabah Sasar Semua Produk Pelancongan Komuniti Penuhi Standard ASEAN Menjelang 2030
- Hala Tuju GRS Hadapi PRU-16 Akan Ditentukan Secara Kolektif - Armizan
- Garis Kemiskinan Makanan Sabah Perlu Realistik, Ambil Kira Cabaran Pedalaman