Berita
Petronella Douny Muncul Wanita Malaysia Pertama Raih Sijil Kejurulatihan AFC Pro Diploma
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Sabah FA Petronella Douny melakar sejarah tersendiri apabila muncul wanita Malaysia pertama berjaya memperoleh Sijil Kejurulatihan AFC Pro Diploma.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan berprestij itu diraih menerusi program JFA-AFC Diploma Course for Elite Female Coaches yang mengambil masa setahun tiga bulan melibatkan empat modul latihan iaitu tiga di Jepun dan satu di China.
Terdahulu, FAM memaklumkan peluang keemasan itu hadir selepas badan induk itu menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang jurulatih menyertai program bertaraf elit berkenaan.
FAM dalam kenyataan memaklumkan selepas meneliti kelayakan dan latar belakang calon bersesuaian, pihaknya memutuskan untuk mencalonkan Petronella, sekali gus melayakkannya menerima pembiayaan biasiswa penuh tanpa sebarang kos penyertaan.
Badan induk bola sepak negara itu menyifatkan kejayaan membanggakan berkenaan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan melahirkan lebih ramai jurulatih wanita yang berkelayakan tinggi serta mampu bersaing di pentas bola sepak Asia dan antarabangsa.
“Kejayaan Petronella ini membuktikan peluang, sokongan dan laluan pembangunan yang tepat mampu melahirkan lebih ramai tenaga kejurulatihan wanita berkaliber untuk menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara,” menurut FAM.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Sabah Perhebat Pemuliharaan Sungai Tuaran, Tangani Cabaran Iklim Dan Hakisan Tebing
- Sabah Perkasa Transformasi Perundangan Adat, Naik Taraf Mahkamah Anak Negeri
- Penampakan Cahaya Di Ruang Udara Sabah Berpunca Pelancaran Roket China - MYSA
- Jauteh Serah Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah Kepada Victor
- Sabah, MOTAC Perkukuh Kerjasama Jayakan Tahun Melawat Sabah 2027