Berita

Kemaskini: 10/11/2026 05:57 PM

Jauteh Serah Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah Kepada Victor

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos secara rasmi dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bersara selepas lebih 30 tahun berkhidmat dalam PDRM.

KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Datuk Jauteh Dikun menyerahkan tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Datuk Victor Sanjos dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Victor sebelum ini merupakan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Majlis serah terima tugas itu dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor, selain menyaksikan penyerahan tongkat kuasa kepimpinan antara dua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Turut berlangsung perbarisan khas kontinjen sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Jauteh yang akan bersara secara rasmi esok selepas berkhidmat lebih 32 tahun dalam pasukan Sang Saka Biru.

Istiadat itu disusuli penyerahan tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah daripada Datin Nurhayatie Farhana Abdullah kepada Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie.

Upacara peralihan kepimpinan sayap kebajikan kontinjen berkenaan disaksikan oleh Naib Pengerusi PERKEP Malaysia Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.

Pelantikan Victor merupakan sebahagian daripada pertukaran 19 pegawai kanan PDRM di seluruh negara yang diumumkan Setiausaha Polis Malaysia DCP Mohammad Mashdik Yahya pada 7 Nov lepas, dan Victor secara rasmi menjawat Pesuruhjaya Polis Sabah esok.

-- BERNAMA