Berita

Kemaskini: 11/11/2026 05:54 PM

Sabah Perhebat Pemuliharaan Sungai Tuaran, Tangani Cabaran Iklim Dan Hakisan Tebing

Kredit Foto: Pejabat Media dan Komunikasi JKM

TUARAN, 11 Nov (Bernama) -- Cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing menuntut kerajaan negeri Sabah untuk terus mempergiat usaha pemuliharaan sungai di negeri itu, bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kebersihan kawasan berkenaan terus terpelihara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Berucap merasmikan projek pemuliharaan Sungai Tuaran hari ini, Hajiji berkata sungai itu merupakan antara khazanah alam penting kepada daerah itu, kerana bukan sahaja mempunyai nilai daripada sudut alam sekitar, tetapi turut menjadi sebahagian kehidupan dan sejarah masyarakat setempat.

Beliau berkata justeru usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, bagi memastikan kawasan sungai sentiasa bersih, terpelihara dan tidak dicemari sekali gus bebas daripada aktiviti yang boleh menjejaskan persekitarannya.

Kredit Foto: Pejabat Media dan Komunikasi JKM

“Projek pemuliharaan sungai yang dilaksanakan ini diharap dapat memperbaiki keadaan persekitaran pekan Tuaran, di samping menjadikan kawasan ini lebih menarik dan selesa dikunjungi,” katanya yang turut merasmikan tapak letak kenderaan baharu pekan Tuaran di sini, hari ini.

Beliau berkata perasmian kedua-dua projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri Sabah, dalam memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi infrastruktur moden serta kelestarian alam sekitar.

Hajiji berkata reka bentuk Jambatan Tamu Tuaran menerusi projek itu, diinspirasikan daripada bubu ikan tradisional iaitu peralatan menangkap ikan, yang sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan.

Beliau berkata jambatan itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Pekan Tuaran, tetapi turut berfungsi menghubungkan komuniti di seberang sungai dengan kawasan Tamu Tuaran dan memudahkan pergerakan penduduk khususnya pejalan kaki.

Mengenai tapak letak kenderaan baharu, Hajiji berkata kemudahan itu disediakan berikutan Pekan Tuaran sedang mengalami pertumbuhan ekonomi dan aktiviti domestik, yang sangat pesat.

Beliau berkata pertambahan kenderaan terutama pada hari tamu dan hujung minggu, sering kali menimbulkan kesesakan, manakala pekan itu turut menjadi tumpuan masyarakat untuk menjalankan urusan harian termasuk aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Hajiji berkata Majlis Daerah Tuaran memikul tanggungjawab besar untuk meningkatkan pengurusan bandar serta kualiti persekitaran, susulan pengiktirafan daerah ini sebagai Bandar Paling Mampan Negeri Sabah 2026, baru-baru ini.

Ketua Menteri juga berkata pembangunan pekan yang dinamik, memerlukan sistem perbandaran mampan seperti penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan dan prasarana awam bersesuaian, termasuk memastikan aspek pemuliharaan persekitaran sungai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah Siraja Bashora dalam ucapannya berkata Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran di Pekan Tuaran, telah dimulakan pada 13 Nov 2023 sebelum siap sepenuhnya pada 7 Jun, dengan kos keseluruhan RM16.47 juta.

Beliau berkata antara skop utama projek itu, termasuk pembinaan struktur pertahanan tebing sungai menggunakan kaedah armour rock sepanjang 900 meter, pembinaan denai sungai sepanjang 900 meter, kerja-kerja pengaluran sungai, pembinaan jambatan baharu serta kerja-kerja landskap.

“Pelaksanaan komponen ini mencerminkan pendekatan pembangunan yang bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek perlindungan tebing dan pengurusan sungai, malah mengambil kira penyediaan kemudahan awam, serta penambahbaikan persekitaran untuk manfaat masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA