Berita

Kemaskini: 06/11/2026 01:18 PM

Media Rakan Strategik PDRM Pelihara Keselamatan, Keharmonian Masyarakat - Jauteh

Datuk Jauteh Dikun

KOTA KINABALU, 6 Nov (Bernama) -- Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan pantas kepada masyarakat, sekali gus membantu memelihara keselamatan serta keharmonian negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kerjasama erat antara pihak polis dan pengamal media bukan sahaja membantu masyarakat memahami usaha penguatkuasaan undang-undang, malah berupaya mengelakkan salah faham serta persepsi negatif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau berkata keberkesanan sesuatu tindakan atau program dilaksanakan PDRM turut bergantung kepada peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara meluas, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan pencegahan jenayah.

"Tanpa media, tanpa pemakluman secara meluas, apa-apa juga yang kita lakukan tidak akan diketahui masyarakat sekitar," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bersama Media di sini hari ini.

Jauteh akan bersara wajib pada 11 Nov ini selepas berkhidmat lebih 32 tahun dalam PDRM, dan majlis itu menjadi kesempatan kepada pengamal media di Sabah untuk meraihkan beliau sebagai penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan dalam memastikan kelancaran penyampaian maklumat kepada orang ramai.

Beliau berkata perkembangan industri media dan teknologi komunikasi telah mengubah cara masyarakat menerima serta memahami maklumat berbanding dahulu yang lebih bergantung kepada penyampaian secara lisan.

Katanya, penyebaran maklumat yang perlahan dan kurang tepat pada masa lalu sering mencetuskan pelbagai persepsi serta salah faham dalam kalangan masyarakat, termasuk antara kaum dan penduduk di kawasan berbeza.

Bagaimanapun, beliau berkata kemajuan media yang membolehkan maklumat disampaikan dengan cepat dan meluas, telah membantu meningkatkan persefahaman dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum atau tempat tinggal.

"Walaupun penonjolan media ini nampak terlalu mudah, tetapi hasil kerjanya itu boleh meruntuh negara, boleh membangun negara, boleh mengamankan negara," katanya.

Dalam pada itu, Jauteh mengingatkan pengamal media, khususnya pengendali platform media sosial dan media bebas, supaya sentiasa mengutamakan ketepatan fakta serta mematuhi etika kewartawanan dalam penyampaian berita.

Beliau berkata tindakan memetik sebahagian kenyataan seseorang tanpa konteks sebenar boleh menyebabkan salah tafsir, sekali gus menjejaskan reputasi individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sabah Fadzli Ramli merakamkan penghargaan kepada Jauteh dan PDRM atas kerjasama erat dalam membantu petugas agensi berita itu menyalurkan maklumat tepat serta terkini kepada masyarakat.

Beliau berkata keprihatinan Jauteh terhadap kebajikan dan keselamatan petugas Bernama turut mencerminkan hubungan baik yang terjalin, melangkaui urusan rasmi semata-mata.

Fadzli turut mengenang jasa Jauteh yang membantu menguruskan penerbangan ihsan pesawat PDRM bagi membawa pulang jenazah pewarta Bernama di Sandakan Allahyarham Nur Adika Bujang, ke Kota Kinabalu pada 2024.

“Ketika itu kita berdepan beberapa ketidaktentuan yang menyebabkan kesukaran mendapatkan penerbangan bagi membawa jenazah pulang ke Kota Kinabalu dari Sandakan, lalu saya menghubungi Datuk untuk memohon pertolongan pihak PDRM.  

“Datuk sendiri kemudian menghubungi pihak pengurusan PDRM di Bukit Aman untuk mendapat kebenaran membolehkan pesawat PDRM melakukan penerbangan ihsan membawa pulang jenazah, dan ini merupakan satu budi besar yang tidak dapat saya balas, terima kasih Datuk,” katanya.

-- BERNAMA