Berita

Kemaskini: 05/11/2026 10:43 AM

Dana Inovasi Media 2.0 Penting Demi Kemampanan Operasi Bilik Berita Di Sabah

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Dana Inovasi Media 2.0 dijangka menjadi sumber sokongan penting kepada organisasi media di Sabah yang berdepan peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja mahir serta tuntutan untuk melaksanakan transformasi digital.

Timbalan Pengurus Besar Sabah Publishing House (SPH) Dexter Yeh berkata dana berkenaan akan membantu organisasi media meningkatkan mutu kandungan, produktiviti serta menangani cabaran operasi yang dihadapi.

Beliau berkata SPH yang menerbitkan akhbar Daily Express, Overseas Chinese Daily News serta mengendalikan portal berita telah menggunakan peruntukan RM300,000 yang diterima menerusi dana sebelum ini bagi latihan petugas, pembelian peralatan serta menaik taraf perisian.

“Pembiayaan terbabit telah memberi impak yang ketara, terutama dalam meningkatkan mutu kandungan berita serta melancarkan proses memuat naik bahan berita,” katanya kepada Bernama.

Yeh berharap peruntukan pada masa akan datang turut merangkumi kerja-kerja pengubahsuaian premis pejabat yang semakin usang serta pengambilan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang kewartawanan dan pemasaran, memandangkan usaha mendapatkan petugas berkemahiran masih berdepan kesukaran berikutan tawaran gaji yang kurang kompetitif.

Beliau turut menyeru kementerian di peringkat Persekutuan meningkatkan sokongan pembelian ruang pengiklanan media bagi penerbit di Sabah untuk memperkukuh sumber pendapatan serta menjamin peluang pekerjaan.

"Jika setiap kementerian di peringkat Persekutuan dapat memperuntukkan antara RM100,000 hingga RM200,000 setahun bagi pengiklanan dalam media, ia dapat membantu syarikat media dan menjamin peluang pekerjaan,” katanya sambil mencadangkan agensi Persekutuan menganjurkan lebih banyak program rasmi di Sabah dengan melibatkan penyertaan media tempatan.

Sementara itu, portal berita Sayang Sabah pula mencadangkan Dana Inovasi Media 2.0 memberi penekanan kepada pembangunan kandungan digital, peningkatan kemahiran pekerja dan penerokaan model perniagaan mampan.

Pengurus Operasinya Sylentica Hoili berkata dana itu perlu dimanfaatkan untuk membangunkan produk media berbayar, pengiklanan digital dan kerjasama komersial sebagai sumber pendapatan baharu.

"Dana inovasi bukan sekadar membantu organisasi membeli peralatan atau perisian, tetapi boleh menjadi pemangkin untuk membina model perniagaan media yang lebih pelbagai dan berdaya tahan khususnya dalam mengetengahkan identiti tempatan ke peringkat antarabangsa," katanya. 

Beliau berkata Sayang Sabah telah menggunakan sepenuhnya peruntukan RM166,300 yang diterima secara berperingkat sejak Ogos lepas, merangkumi RM100,000 bagi pembelian peralatan dan perkakasan sokongan bilik berita, RM41,300 untuk langganan perisian serta RM25,000 bagi latihan pekerja. 

Ketua Editor Sabah Media Jabdin Juhat pula mencadangkan dana berkenaan diperluas untuk menampung kos operasi dan gaji petugas bagi membantu kelangsungan organisasi media, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Sekiranya bantuan pengurusan turut disediakan, lebih banyak syarikat media, khususnya media tempatan di Sabah dan Sarawak berpeluang untuk terus bertahan, mengekalkan tenaga kerja serta menghasilkan liputan yang berkualiti dan konsisten,” katanya sambil memaklumkan portal berita tempatan itu pernah menerima peruntukan kira-kira RM300,000 sebelum ini.  

Jabdin turut mencadangkan supaya bantuan langganan perkhidmatan berita seperti disediakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diasingkan daripada peruntukan utama bagi membolehkan syarikat media menggunakan dana itu untuk keperluan teknologi penerbitan lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil berkata kekangan kewangan, kekurangan tenaga kerja serta keterbatasan teknologi masih menjadi cabaran utama yang dihadapi bilik berita di negeri itu.

Beliau berkata dana tersebut akan menyediakan sokongan yang amat diperlukan bagi menaik taraf kemudahan digital, meningkatkan kecekapan operasi bilik berita serta memperkukuh mutu kewartawanan.

"Organisasi media tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya pada pengiklanan konvensional dan jualan edaran akhbar, sebaliknya perlu meneroka sumber pendapatan baharu seperti kandungan berjenama, penerbitan video, pengiklanan digital serta kerjasama strategik dengan syarikat korporat,” katanya

Pengerusi Persatuan Media Sandakan Sabah James Leong Tshun Kian berkata dana terbabit mampu membantu organisasi media menjana pendapatan menerusi penerbitan rencana tajaan, penghasilan video komersial serta kerjasama dalam mempromosikan sektor pelancongan.

 Beliau berkata inisiatif sedemikian mampu memperluas capaian khalayak, di samping mengetengahkan potensi ekonomi, kebudayaan serta komuniti Sabah dan Sarawak kepada masyarakat.

-- BERNAMA