Berita
Sabah Jalin Kerjasama Strategik Pelancongan, Kebudayaan Dengan India - Jafry
KOTA KINABALU, 6 Nov (Bernama) -- Sabah mempergiat inisiatif strategik untuk memperluas kerjasama pelancongan dan kebudayaan dengan India bagi menembusi pasaran pelancong dari negara itu menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata India dikenal pasti sebagai pasaran sumber utama mempunyai potensi pertumbuhan amat besar serta selari dengan aset khusus Sabah dalam ekopelancongan, biodiversiti, pelancongan kembara dan warisan kebudayaan.
“India ialah pasaran pelancongan penting dengan potensi sangat besar bagi Sabah dan kami melihat peluang signifikan untuk mengukuhkan penglibatan, menggalakkan ketibaan lebih ramai pelancong serta memperkenalkan keunikan tarikan semula jadi kita kepada lebih ramai pelancong dari negara itu.
“Pelancongan bukan sekadar menarik pelawat, tetapi juga membina persahabatan yang berkekalan, mempromosikan kefahaman budaya dan mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jafry menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Somnath Ghosh dan isteri Dr Anindita Ghosh di sini malam tadi.
Majlis itu diadakan sempena lawatan kerja rasmi empat hari Ghosh ke Sabah bermula 4 Nov bagi meneroka peluang baharu untuk kerjasama bersama.
Jafry berkata kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama secara langsung dengan pihak berkuasa India, khususnya dalam promosi pelancongan bersama, program pertukaran budaya dan inisiatif timbal balik yang mengukuhkan hubungan rakyat.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia atas usaha mengukuhkan hubungan dua hala serta memudah cara penglibatan strategik antara kedua-dua pihak.
“Aspirasi kami adalah untuk mendekatkan Sabah kepada dunia dan mengalu-alukan lebih ramai masyarakat dunia menikmati keindahan negeri ini menerusi jalinan kerjasama bermakna yang memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Media Rakan Strategik PDRM Pelihara Keselamatan, Keharmonian Masyarakat - Jauteh
- Kompaun RM2.1 Juta Dikeluarkan Terhadap Majikan Di Sabah Tahun Ini - Imigresen
- Sabah, Sarawak Perlu Diberi Tumpuan Untuk Tingkatkan SSR Beras Negara
- JBG Disaran Tingkat Kefahaman Undang-undang Kepada Penduduk Luar Bandar Sabah - Mustapha
- Dana Inovasi Media 2.0 Penting Demi Kemampanan Operasi Bilik Berita Di Sabah