Berita

Kemaskini: 25/10/2026 02:14 PM

Rakyat Sabah, Sarawak Dukung Kedaulatan Malaysia - Mustapha

KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Rakyat Sabah dan Sarawak teguh mendukung kedaulatan Malaysia serta menolak sebarang provokasi menghina Jalur Gemilang oleh pihak tidak bertanggungjawab di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata tindakan sekumpulan rakyat Malaysia yang menghina Jalur Gemilang di luar negara hanya berisiko menjejaskan reputasi penduduk negara ini yang belajar dan bekerja di sana.

"Menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan langsung budaya warga Sabah dan Sarawak yang penuh adab dan santun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan sekumpulan individu daripada pertubuhan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia yang mengadakan demonstrasi dan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik di Melbourne bersempena dengan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 Okt lepas.

Mustapha berkata walaupun Kerajaan MADANI menjamin kebebasan bersuara, hak demokratik berkenaan tidak bermakna seseorang itu terlepas daripada implikasi undang-undang atas tindakannya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan orang ramai membuat laporan polis rasmi agar pihak berkuasa dapat menyiasat kandungan media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik mengikut lunas undang-undang.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Mustapha berkata tuntutan berkaitan perjanjian itu yang sebelum ini dianggap sensitif kini dibincangkan secara telus dan diangkat sebagai agenda utama negara.

Beliau berkata rundingan rasmi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh hampir empat tahun telah menyelesaikan 12 perkara MA63, di samping melonjakkan pemberian khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun.

Menurutnya,  rundingan mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah juga diteruskan bagi mencapai penyelesaian tuntas.

"Rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan berbanding provokasi sebegini," katanya.

-- BERNAMA