Berita

Kemaskini: 27/09/2026 06:45 PM

Hotel Bertaraf Lima Bintang Pertama Di Papar Dijangka Mula Beroperasi Hujung 2027

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (lima, kanan) meninjau kemajuan pembinaan InterContinental Hotel & Resort di Melinsung Papar hari ini.

PAPAR, 27 Sept (Bernama) -- Hotel bertaraf lima bintang pertama di daerah Papar, InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort di Melinsung, dijangka mula beroperasi pada Disember 2027.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek bernilai kira-kira RM1 bilion oleh Sinyi Group dari Taiwan itu dibangunkan di kawasan seluas lebih 32 hektar dengan IHG Hotels & Resorts sebagai rakan pengendali.

Beliau berkata berdasarkan taklimat pihak pemaju, kemajuan keseluruhan pembinaan projek itu setakat ini ialah 34.1 peratus, manakala pembinaan hotel utama mencapai 47.7 peratus.

“Hotel utama disasarkan mula beroperasi pada Disember 2027, diikuti keseluruhan pusat peranginan pada 2028. Apabila siap, projek ini dijangka membuka kira-kira 700 peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek berkenaan di sini, hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata projek berkenaan dirancang mempunyai 418 bilik dan unit penginapan serta dijangka menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa di daerah itu.

Beliau berkata usaha menarik pelaburan berkenaan bermula sejak Oktober 2021 apabila beliau bersama dengan beberapa pengarah Sinyi Group dan pegawai daerah meninjau beberapa lokasi yang berpotensi untuk pembangunan pusat peranginan.

“Alhamdulillah, Sinyi Group akhirnya memilih Papar untuk pelaburan membangunkan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa – InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort,” katanya.

Beliau berkata tinjauan kemajuan projek hari ini turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar serta pemimpin setempat, selain menerima taklimat daripada pihak pemaju sebelum meninjau kerja-kerja pembinaan di tapak.

Armizan berkata beliau berharap pelaburan itu memberikan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat setempat, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Papar.

“Harapan saya sejak awal ialah pelaburan ini memberikan manfaat yang melangkaui pembangunan sebuah pusat peranginan. Ia perlu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan membawa limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pengangkutan, pembekalan serta perkhidmatan pelancongan di Papar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus mengikuti kemajuan projek berkenaan dan menyuarakan kepentingan masyarakat setempat dalam pelaksanaannya.

“Terima kasih kepada Sinyi Group atas komitmen meneruskan pelaburan ini di Papar. Semoga projek ini dapat disiapkan mengikut perancangan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di daerah ini,” katanya.

-- BERNAMA