Berita
Jawatankuasa Khas Perlu Diwujudkan Kaji Penambahan Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak
KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Satu jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diwujudkan bagi mengkaji cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata kajian turut meliputi penetapan garis masa untuk ia dilaksanakan.
Beliau berkata jawatankuasa khas berkenaan juga perlu dianggotai wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) serta wakil kerajaan negeri.
“Jadi, kami harap dengan pendekatan ini, kami akan dapat memperincikan garis masa berkaitan dengan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan buku The Transformative Integrated Living Lab (TILL): From Philosophy to Practice di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Pada Selasa lepas, BHESS dan Jabatan Perdana Menteri telah memulakan libat urus dengan SPR bagi membincangkan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Mustapha berkata perbincangan dengan SPR masih di peringkat awal bagi mendapatkan gambaran mengenai kaedah dan kajian yang diperlukan bagi meningkatkan jumlah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.
“Hasil pertemuan itu, SPR memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai kaedah tertentu, namun kajian terperinci diperlukan kerana penambahan kerusi Parlimen di Borneo perlu mengambil kira nisbah penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung,” katanya.
Pada 11 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat MA63.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Hotel Bertaraf Lima Bintang Pertama Di Papar Dijangka Mula Beroperasi Hujung 2027
- METMalaysia Pantau Gempa Bumi Sabah Melalui 28 Stesen Seismik
- Literasi Pertahanan Tingkat Kefahaman, Kesedaran Rakyat Terhadap Pertahanan Negara – Mohamed Khaled
- Malaysia Perkukuh Pertahanan Susulan Perkembangan Serantau - Mohamed Khaled
- TPNS Salur RM40 Juta, Lebih 27,000 Pelajar Terima Manfaat - Hajiji