Berita
TPNS Salur RM40 Juta, Lebih 27,000 Pelajar Terima Manfaat - Hajiji
KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta dan telah memberikan manfaat kepada 27,781 pelajar sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 11,383 pelajar dari seluruh pelosok Sabah menerima manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.
Beliau berkata penubuhan TPNS bertemakan Peluang Tajaan Untuk Semua itu terbukti menjadi satu instrumen penting dalam memperluas akses bantuan pendidikan kepada rakyat.
“Inilah antara tanggungjawab besar kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Aplikasi Pintar Sistem TPNS di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Hajiji berkata komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini, yang memberikan manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Beliau berkata peruntukan itu melonjak lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020 manakala sepanjang 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu Hajiji berkata pelancaran aplikasi pintar sistem TPNS itu akan membolehkan permohonan bantuan TPNS dibuat secara dalam talian manakala pemohon boleh menyemak status permohonan secara masa nyata dengan proses lebih telus dan mesra pengguna.
Ketua Menteri berkata sistem itu memperkukuh Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) yang dilancarkan pada 2 Julai 2024 sebagai platform tetingkap tunggal yang menghimpunkan lima agensi penaja dan pemberi bantuan pendidikan utama negeri dalam satu platform bersepadu.
Beliau turut menyeru supaya syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS.
Pada majlis itu Hajiji berkata sebanyak 362 penerima dari sekitar daerah Kota Kinabalu menerima manfaat sebanyak RM6.79 juta sekali gus membuktikan kerajaan tidak pernah membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir daripada mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Hotel Bertaraf Lima Bintang Pertama Di Papar Dijangka Mula Beroperasi Hujung 2027
- METMalaysia Pantau Gempa Bumi Sabah Melalui 28 Stesen Seismik
- Jawatankuasa Khas Perlu Diwujudkan Kaji Penambahan Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak
- Literasi Pertahanan Tingkat Kefahaman, Kesedaran Rakyat Terhadap Pertahanan Negara – Mohamed Khaled
- Malaysia Perkukuh Pertahanan Susulan Perkembangan Serantau - Mohamed Khaled