Berita
Sabah Sedia Jadi Platform Penting Kerjasama Malaysia-China
KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan China, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata hubungan Sabah dengan republik itu ialah bahagian penting dalam kerjasama Malaysia-China yang lebih luas, dan silaturahim antara kedua-dua pihak telah terjalin sejak sekian lama menerusi laluan perdagangan maritim.
“Sejak berabad-abad lalu, laluan perdagangan maritim telah menghubungkan komuniti pesisir Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara.
“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna hingga hari ini,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan teks ucapan Hajiji pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort di sini dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata kedudukan geografi yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin membolehkan Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan perusahaan, institusi dan masyarakat dari China.
“Perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah-China. China merupakan antara rakan dagang terpenting Sabah dengan kerjasama merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.
“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata Sabah turut menawarkan peluang pelaburan yang besar kepada pelabur China dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.
Ketua Menteri itu berkata terdapat juga ruang luas untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian pintar dan akuakultur.
Hajiji berkata kerjasama dalam sektor pelancongan juga boleh terus dipertingkatkan menerusi kesalinghubungan udara yang lebih kukuh, perluasan pemasaran digital serta pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan.
Selain kerjasama ekonomi, beliau berkata terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pendidikan dan budaya termasuk menerusi perkongsian antara universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, penyelidikan, biasiswa serta bidang sains dan teknologi.
Tambah beliau Sabah kekal komited menyokong hubungan kukuh dan konstruktif antara Malaysia dengan China sambil meneruskan keutamaan negeri di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.
“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- BHESS, SPR Mula Libat Urus Penambahan Kerusi Parlimen Sabah Dan Sarawak
- GovTech Mudahkan Urusan Rakyat, Bukan Sekadar Teknologi Canggih - Hajiji
- Belanjawan 2027: Peruntukan Pembangunan Sabah, Sarawak Wajar Ditambah - Mustapha
- Pastikan Lepasan Politeknik, Kolej Komuniti Dapat Pekerjaan Sepadan Kemahiran - Zambry
- Margin Simpanan Elektrik Sabah Dijangka Capai 26 Peratus Akhir Tahun Ini - Hajiji