Berita

Kemaskini: 21/09/2026 05:43 PM

Belanjawan 2027: Peruntukan Pembangunan Sabah, Sarawak Wajar Ditambah - Mustapha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Pos dan Kuarters Imigresen Serikin, Bau dekat sini, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

BAU, 21 Sept (Bernama) -- Jumlah peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak wajar ditambah atau dikekalkan dalam Belanjawan 2027, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata peruntukan secara adil dan saksama kepada wilayah Borneo Malaysia diperlukan memandangkan masih banyak infrastruktur asas serta kemudahan awam di Sabah dan Sarawak perlu dinaik taraf dengan fasiliti lebih baik.

“Kalau kita lihat tahun lepas, kedua-dua negeri ini mendapat dana pembangunan yang tertinggi. Jadi kita harap, mewakili suara rakyat Borneo ini, kami memohon supaya dana pembangunan ini kekal atau dinaikkan. 

“Sebab memang banyak lagi sekolah daif, tadi pun saya melawat beberapa pejabat polis, pondok polis kita di Sematan, masih ada pondok polis daripada kayu yang berusia 69 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin, di sini, hari ini.

Dalam Belanjawan 2026, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi, dengan masing-masing berjumlah RM6.9 bilion dan RM6 bilion. 

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Okt ini. 

-- BERNAMA