Berita

Kemaskini: 22/09/2026 03:44 PM

GovTech Mudahkan Urusan Rakyat, Bukan Sekadar Teknologi Canggih - Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (Gambar Fail)

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan agenda teknologi kerajaan (GovTech) di Sabah perlu memberi keutamaan kepada pengalaman rakyat dan penyampaian perkhidmatan secara proaktif bagi memastikan urusan kerajaan lebih mudah, pantas serta mesra pengguna.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata falsafah GovTech yang meletakkan rakyat sebagai paksi utama bermakna kerajaan tidak lagi hanya menunggu rakyat mendapatkan perkhidmatan atau berdepan kerenah birokrasi yang membebankan.

“Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan ucapan Hajiji sempena Majlis Perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Beliau berkata transformasi digital juga penting dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Sabah, sekali gus membantu menarik pelaburan dan memajukan ekonomi negeri.

“Namun, kita harus ingat bahawa teknologi canggih hanyalah sebuah alat. GovTech tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda daripada para penjawat awam,” katanya.

Hajiji berkata kecekapan, integriti dan sifat empati penjawat awam adalah “enjin utama” yang memberi jiwa kepada teknologi demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Menurut Hajiji, pemodenan sektor awam menerusi GovTech turut membolehkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan meruntuhkan sistem kerja secara silo, dengan integrasi data serta sistem antara agensi menjadi prasyarat kepada penyampaian perkhidmatan yang pantas, mudah dan telus.

“Pendekatan ini juga penting dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan limpahan pembangunan digital dapat dinikmati rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan peningkatan kebergantungan kepada ekosistem digital perlu disusuli benteng keselamatan siber yang kukuh, termasuk dalam aspek perlindungan data peribadi rakyat yang diamanahkan kepada agensi kerajaan.

-- BERNAMA