Berita

Kemaskini: 01/09/2026 06:36 PM

JPBN Sabah Nasihat Golongan Berisiko Elak Aktiviti Luar

Pemandangan berjerebu dirakam di sekitar Jeti Marina Awam Labuan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 165. Selain Labuan, beberapa kawasan lain turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Miri (177), Kota Kinabalu (156) dan Bandar Seri Begawan, Brunei (163). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU, 1 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar susulan kualiti udara yang kurang baik di beberapa kawasan di negeri itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Sabah, nasihat itu khususnya kepada kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan selain mereka turut diminta mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak.

“Orang ramai yang perlu berada di luar rumah disaran memakai pelitup muka bersesuaian, minum air secukupnya dan menjaga kebersihan diri selepas melakukan aktiviti luar.

“Orang ramai juga dinasihatkan memastikan pengudaraan dalam bangunan berada pada tahap baik bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada udara tercemar,” menurut kenyataan itu.

JPBN juga mengingatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mengikuti perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta nasihat terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa kesihatan.

Mereka yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas atau sakit dada dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

JPBN Sabah memaklumkan akan terus memantau perkembangan kualiti udara di seluruh negeri dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) empat kawasan di Sabah mencatatkan IPU tahap tidak sihat setakat 5 petang ini.

Kota Kinabalu merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 177, diikuti Kimanis (166), Keningau (165) dan Tawau (153) manakala Sandakan pada tahap sederhana (93).

-- BERNAMA